ANAK Jati Negeri Sembilan ini, mengambil masa agak lama untuk muncul dengan album solo sendiri, meskipun pernah hits dengan lagu ‘Ada Untukmu’ di awal kemunculannya dulu.

Namun bagi Nubhan tempoh tiga tahun itu dirasakan berbaloi dengan kualiti dicapai menerusi albumnya, Langkah Nubhan. Sementelah lagi, beberapa single menerusi album itu mendapat sambutan menggalakkan.

Lagu Oh Juwita, Seadanya Aku dan Aku atau Dia, misalnya, sering diputarkan di kebanyakan stesen radio tempatan.

“Sepanjang tiga tahun, saya dan pihak pengurusan berusaha menghasilkan yang terbaik album ini. Walaupun mengambil masa lama, bersyukur keluar juga album sendiri.

“Dalam tempoh itu, saya bukanlah menyepi. Sekurang-kurangnya, saya ada single yang sering dimainkan dan itu membuatkan saya masih mampu bertahan hingga ke hari ini.

“Malah judul Langkah Nubhan yang digunakan album ini pun mempunyai maksud tersendiri. Inilah permulaan Nubhan dan dengan adanya album ini, saya harap dapat mengatur langkah seterusnya dengan baik,” ujar Nubhan ditemui ketika pelancaran albumnya di sebuah kelab di ibu kota.

Nubhan menjelaskan, faktor pertukaran pihak pengurusannya, Artistes Unnited Record (AUR) yang dulunya diterajui penyanyi Ning Baizura, memerlukan masa menyesuaikan diri dengan pihak pengurusan baru.

“Walaupun Kak Ning, tidak lagi menguruskan saya secara rasmi, namun dia masih membantu dan mengambil tahu mengenai karier saya. Malah dia juga terbabit memilih lagu untuk album saya.

“Sejak dulu saya anggap Ning kakak dan ‘sifu’ saya. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat ” kata Nubhan yang turut menjemput sifunya itu ke majlis pelancaran itu.


*Sumber: Sinar Harian Online

Categories: