Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/12/09



Nubhan

Perjalanan kerjaya yang disangka sudah gelap, rupa-rupanya masih ada sinar

DALAM perjalanan untuk mencipta nama sebagai anak seni, penyanyi yang memiliki wajah persis jejaka Cina ini pernah berasakan dunianya dalam bidang nyanyian seakan kelam.
Sebagai orang baru yang tidak mengetahui selok belok dunia hiburan, masalah yang ditimbulkan bekas pengurusnya menyebabkan Ahmad Nubhan Ahamad, 24, menyangka langkahnya dalam dunia nyanyian akan mati.

Terasa usahanya selama ini bagaikan sia-sia. Namun ternyata masih ada sinar buat jejaka ini apabila syarikat pengurusannya, Artistes United Record (AUR) masih sudi mengembangkan kerjaya seninya.

“Waktu itu memang dunia bagaikan gelap. Permulaannya memang fikiran jadi berserabut, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Maklum saja ketika itu masih baru dalam industri ini. Kehidupan saya memang bergantung sepenuhnya kepada pengurus kerana dia yang banyak merencanakan jadual saya.

“Jadi apabila sesuatu berlaku kepadanya, saya panik. Walau dalam keadaan yang berserabut itu, saya tidaklah terfikir mahu meninggalkan bidang nyanyian. Mujur ada keluarga yang menjadi kekuatan saya.

“Nasib saya masih baik apabila syarikat pengurusan mahu bertanggungjawab. Mereka masih mahukan saya serta mahu melihat kerjaya seni saya diteruskan. Ketika itu saya bagaikan melihat ada sinar yang kembali menyinari hidup saya,” kata bekas pelajar Akademi Fantasia (AF6) ini ketika ditemui di majlis pelancaran album sulungnya Langkah Nubhan.
Biarpun kerjaya seninya bergerak agak perlahan, jejaka yang menduduki tempat ketiga pada AF6 ini tidaklah hidup melarat. Hasil titik peluh yang dikumpul selama tiga tahun sebagai anak seni, Nubhan sudah mampu berbangga kerana memiliki kediaman selesa untuk dia dan ahli keluarganya berteduh.

Kediaman yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan itu baru saja didiami. Malah dia juga lebih selesa tinggal bersama keluarga walaupun terpaksa berulang alik jika ada urusan di Kuala Lumpur.

“Saya pernah tinggal sendirian di Kuala Lumpur selama setahun. Bagaimanapun saya rasa lebih banyak keburukan tinggal sendirian. Saya ambil keputusan kembali menetap dengan keluarga. Tak kisah walaupun terpaksa berulang alik, yang penting hati saya gembira,” katanya.

Tiga tahun menjadi anak seni, banyak perubahan yang berlaku kepada anak muda ini terutama dari sudut vokalnya. Jika di dalam AF, vokal Nubhan sering mendapat kritikan, namun kini fasa peningkatan mula kelihatan.

Ketika pelancaran albumnya, Nubhan menghiburkan tetamu dengan tiga lagu, Oh! Juwita, Beri Rasa Beri Rahsia dan sebuah lagu Mandarin berjudul Ai Mei Chuo. Ternyata vokal anak muda ini semakin baik.

Katanya, dia sering menjadikan teknik nyanyian penyanyi lain sebagai rujukan selain pernah mengikuti kelas vokal serta banyak bertanya untuk memperbaiki diri.

Langkah Nubhan adalah buah tangan pertama penyanyi ini selepas tiga tahun menanti. Biar mungkin agak terlewat, namun dia gembira kerana cita-cita untuk memiliki album akhirnya terlaksana juga.

“Nasib setiap orang tidak sama. Walaupun lambat tapi saya yakin pihak pengurusan tidak menghampakan impian saya. Memang tak dinafikan tertanya-tanya juga bila agaknya album saya akan muncul, tetapi akhirnya impian saya terlaksana juga.

“Langkah Nubhan menjadikan langkah saya lebih teratur. Saya berpuas hati dengan lagu-lagu dalam album ini. Masa yang diambil mungkin lama, tetapi syarikat pengurusan memastikan album ini bukanlah tangkap muat saja.

“Saya juga berpuas hati kerana diberi peluang bersuara dan memberikan pendapat. Mereka mengikut kehendak saya dengan memilih lagu yang saya rasa selesa untuk dibawakan. Malah apa yang mengejutkan, mereka juga suka dengan lagu dalam bahasa Mandarin,” kata Nubhan.

Lagu Ai Mei Chou yang ditulis oleh Tam Spider sementara lirik oleh Yap Kang Heng sudah pun berjaya menembusi stesen radio Cina. Ia juga sebagai salah satu strategi daripada AUR untuk memperkenalkan nama Nubhan dikalangan peminat Cina.

Selain Tam, turut terbabit di dalam album Langkah Nubhan ialah 6ixth Sense, Audi Mok, Ad Samad, M Nasir, Sharon Paul dan Azalea. Sementara itu, ketika ditanya tidakkah dia mempunyai impian untuk menulis lagunya sendiri. Nubhan berkata, perkara itu masih terlalu awal dan dia lebih selesa menjadi penyanyi terlebih dulu.


*Sumber: Berita Harian Online

Categories: ,