Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


ARTIS dengan lagu markah tertinggi pada separuh akhir kedua, Akim, Black, Stacy, Estranged dan Nubhan.

Kehadiran peminat setia program realiti terbitan Astro hangatkan peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 24.
SEJAM sebelum pintu Sri Pentas 2 di Plaza Alam Sentral dibuka, kelihatan begitu ramai sekali peminat berbaris panjang di luar studio yang terletak di aras lima kompleks beli-belah di Shah Alam. Mereka menunggu dengan sabar untuk sama-sama memeriahkan acara siaran langsung peringkat separuh akhir kedua Muzik Muzik 24 yang berlangsung pada 13 November lalu.
Sebaik saja pintu dibuka, peminat terus memenuhkan setiap ruang yang ada di studio terbabit. Daripada kerusi di depan pentas sehinggalah ke bahagian belakang, segenap sudut diisi penonton. Sekali pandang, jika diukur kepada kedatangan orang ramai, acara malam itu umpama sebuah pertandingan akhir bagi sesuatu program.
Apatah lagi sebahagiannya datang siap membawa sepanduk penyanyi kegemaran masing-masing. Apabila diamati, kesemua sepanduk yang dibawa memaparkan artis kelahiran program Akademi Fantasi (AF).
Penangan kemunculan kelab peminat yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, sebaik saja wujudnya program realiti itu, nampaknya turut memberikan kesan besar kepada kehangatan minggu kedua peringkat separuh akhir Muzik Muzik.
Ia memang berbeza pada minggu pertama peringkat yang sama, tidak sampai separuh pun penonton yang hadir menyokong artis kesukaan mereka. Tetapi, apabila saja ada artis AF yang bertanding, peminat setia mereka tidak ketinggalan memeriahkan program. Lebih-lebih lagi apabila hampir 70 peratus penyanyi yang bersaing pada malam berkenaan adalah bekas pelajar rancangan realiti yang popular itu.
Pada malam itu, artis AF yang muncul di pentas ialah Nubhan dengan lagu Seadanya Aku (ciptaan Sharon Paul/lirik Azalea), Aizat dengan Fikirlah (Anas), Akim dengan Bengang (Amir/Sheikh Qalam), Adam dengan Benar-Benar (Edry), Stacy dengan Pakai Buang (Edry), Riz berduet bersama Alyah menyampai lagu Ku Pinjam Satu Bintang (Ajai/Slen) dan Rich bersama kumpulannya, Estranged, dengan lagu Aurora (Estranged).

Artis lain yang turut bersaing ialah Jinbara dengan lagu Joget Tak Tau Joget (Anak Jin/Anak Jin & Palut), 6ixth Sense dengan Khatimah Cinta (6ixth Sense), Black dengan Aku Rindu Sayang Kamu (Yuzai) dan Grey Sky Morning dengan Cinta Gila (Sharnizad & Hafizal / Hafizal).
Apatah lagi apabila ramai sudah maklum, kemunculan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) mampu meletakkan seseorang artis satu anak tangga lebih tinggi dalam dunia seni tanah air. Persembahan yang baik pada acara akhir itu nanti bakal meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan peminat serta pemerhati seni, sebagaimana dilakukan Stacy pada edisi sebelum ini.
Lalu, apakah peluang itu sekali lagi bakal digenggam wanita muda dari Sabah ini apabila lagu nyanyiannya turut melekat dalam senarai Top 5 (lagu dengan markah paling tinggi) pada minggu lalu? Selain Stacy, artis AF lain yang boleh tersenyum apabila sebelah kaki bagai sudah melangkah ke AJL24 ialah Akim, Estranged dan Nubhan.
Melengkapkan senarai Top 5 minggu itu ialah juara rancangan Mentor musim ketiga, Black. Stacy tetap tampil bertenaga dalam setiap persembahannya, termasuk ketika bersaing pada separuh akhir. Kelebihannya yang mampu menari dan menyanyi tanpa menampakkan unsur ‘mahu pancit’, pastinya memikat hati juri yang dianggotai Azlan Abu Hassan, Helen Yap, Mohariz Yaakub dan Akadiat Akashah.
Begitupun, pujian harus diberikan kepada Nubhan yang memperlihatkan peningkatan tatkala mengalunkan lagu indah ciptaan Sharon Paul, Seadanya Aku. Bermula sederhana, tetapi anak muda dari Negeri Sembilan ini berjaya memukau penonton dengan kemampuannya membina kemucak lagu sedikit demi sedikit menerusi penyampaiannya yang dikira baik.
Nubhan memberikan keadilan kepada lagu terbabit serta membuktikan dirinya bukan artis mi segera yang hanya berbekalkan rupa ala artis Hong Kong atau Korea semata-mata. Suara serak-serak basahnya berupaya meletakkan lagu berkenaan pada tempatnya yang sesuai.
INFO: Muzik Muzik 24
Minggu ini, lapan lagi lagu akan dipertandingkan pada separuh akhir ketiga. Lagu berkenaan ialah Situasi nyanyian Bunkface, Rindu Terhenti (Tomok), Patri (Jinbara), Masih Jelas (Hafiz), Pergi (Aizat), Bencinta (Faizal Tahir), Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar) dan Ketika Ini (Estranged).
Lagu dan artis mana yang akhirnya bakal berentap pada pentas AJL24 di Stadium Putra Bukit Jalil, 10 Januari nanti, akan diketahui apabila lapan lagu berkenaan selesai dipersembahkan. Separuh akhir ketiga dilangsungkan pada 20 November, jam 10 malam di Sri Pentas 2.



Source: Berita Harian Online

Categories: ,

2 Responses so far.

  1. Unknown says:

    iye sgt2 setuju...nubh telah membuktikan yg artis realiti bkn aris mee segera..chayok2..hope dpt ke final..:)

  2. Harney says:

    Aminnn.....InsyAllah kalo ade rezeki, ade la..Kalo tade..it's ok..Semi final pon dah cukup bagus ;))