Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my


MALAM Jumaat lalu, lima lagi lagu diumumkan sebagai top 5 mengungguli markah antara sebelas lagu yang dipertandingkan pada malam tersebut.Seperti yang telah diuar-uarkan sebelum ini, lima lagu yang diumumkan sebagai top 5 bukanlah keputusan muktamad yang membolehkan langkah mereka untuk mara ke peringkat akhir.

Lima lagu yang berjaya memperoleh markah tertinggi pada peringkat separuh akhir pusingan kedua yang berlangsung di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam minggu lalu ialah Aurora ciptaan, lirik dan nyanyian Estranged; Seadanya Aku ciptaan Sharon Paul, Lirik oleh Azalea nyanyian Nubhan serta Pakai Buang ciptaan dan lirik oleh Edry KRU nyanyian Stacy.

Tidak ketinggalan ialah Bengang ciptaan Amir, lirik oleh Sheikh Qalam yang dinyanyikan oleh Akim serta Aku Rindu Sayang Kamu ciptaan dan lirik oleh Yuzai nyanyian Black.Melihat kepada barisan lagu-lagu yang berjaya disenaraikan pada top 5 minggu lalu, rata-rata didominasi oleh lagu-lagu yang dinyanyikan oleh bintang realiti TV.Selain Estranged, empat daripada mereka iaitu Stacy, Nubhan, Akim dan Black adalah bintang-bintang kelahiran Akademi Fantasia dan juga Mentor.

Mengulas hal tersebut, Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studios Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria ketika ditemui selepas tamat pertandingan tersebut memberitahu, secara kebetulan pada malam tersebut lagu-lagu terbaik adalah nyanyian bintang realiti."Biarpun diumumkan sebagai top 5, namun mereka belum tentu dapat melangkah ke peringkat akhir."Ini merupakan sebuah pertandingan untuk lagu-lagu yang terbaik. Bukan untuk pertandingan mana-mana artis realiti.

"Kita tidak kira sama ada Akademi Fantasia ataupun Mentor, asalkan lagu mereka terbaik, maka lagu tersebut akan terpilih."Kita menilai dari sudut lagu-lagu yang mereka nyanyikan dan mungkin secara kebetulan, pada malam ini di kalangan lagu-lagu yang dipertandingkan lagu-lagu nyanyian mereka adalah yang terbaik," katanya.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, pemilihan lagu-lagu yang bakal melangkah ke peringkat akhir Anugerah Juara lagu 24 (AJL24) yang bakal diadakan pada 10 Januari tahun depan dilakukan oleh juri yang sama.Mereka ialah Azlan Abu Hassan, Mohariz Yaakub, Ahadiat Akashah, Helen Yap dan Azhar Borhan selaku ketua juri."Tahun-tahun yang lalu, kita mempunyai pelbagai kategori untuk lagu-lagu yang dipertandingkan.

Sebab itu pada setiap minggu pada peringkat separuh akhir, jurinya bertukar ganti."Ketika itu apa yang kita mahukan ialah juri yang menilai mempunyai kepakaran bagi kategori yang dipertandingkan."Namun, apabila diperkenalkan kepada konsep terbuka, kita gunakan juri yang sama untuk menilai lagu-lagu yang dipertandingkan pada setiap peringkat separuh akhir," kata Fadzliniza.

Pada peringkat separuh akhir, hanya 30 peratus markah diberikan manakala 70 peratus lagi telah diberikan pada sesi penilaian sebelum ini menerusi cakera padat. Sekilas tentang lagu-lagu yang berjaya mengumpul markah tertinggi pada peringkat separuh akhir bagi pusingan pertama ialah Kau Aku ciptaan, lirik dan nyanyian oleh Aizat; Tak Mungkin Kerna Sayang ciptaan Ajai, lirik oleh Habsah Hassan yang dinyanyikan oleh Alyah dan Aku Scandal ciptaan dan lirik oleh Noh nyanyian kumpulan Hujan.

Tidak ketinggalan, Dan Sebenarnya ciptaan, lirik dan nyanyian oleh Yuna serta Raja Gelek ciptaan dan lirik oleh Damien Mikhail dan One Nation Emcees yang dinyanyikan oleh One Nation Emcees.Tidak mahu proses penilaian disalaherti oleh pelbagai pihak, menurut Fadzliniza, dua daripada juri pertandingan dipertanggungjawabkan menilai lirik manakala dua lagi menilai dari segi lagu.

"Kita baru nak pilih 14 buah lagu yang bakal melangkah ke peringkat akhir nanti. Juri-juri yang kami pilih kali ini rata-rata memahami tentang peranan mereka yang tersendiri."Saya rasa lagu-lagu untuk top 5 yang terpilih sama ada pada minggu ini dan minggu lalu semuanya adalah lagu-lagu yang popular yang biasa kita dengar. Tidak ada pun lagu-lagu yang kita tidak pernah dengar sebelum ini," katanya.

Pernah diangkat sebagai juara bagi lagu Itu Kamu pada AJL22, kumpulan muzik Estranged mencipta peluang ketiga apabila kali ini, impian untuk melangkah ke AJL24 hampir menjadi kenyataan apabila lagu nyanyian mereka Aurora berjaya tersenarai sebagai top 5.Tahun lalu, Estranged berjaya melangkah ke peringkat akhir AJL23 menerusi lagu Yang Pernah."Ini peluang yang ada bagi kami untuk menonjol sebagai calon berkumpulan. Kami melihat ini satu perkembangan baik untuk industri hiburan tempatan."Lagu Aurora kami rasa agak istimewa kerana dari segi muzik dan lirik ia memang berlainan. Kami akan mencuba buat yang terbaik," kata Rich mewakili rakan-rakannya.

Seperti Estranged, Stacy juga mengumpul pengalamannya beraksi di pentas akhir AJL23 tahun lalu menerusi lagu Aku Stacy.Biarpun memberi persembahan yang cukup bertenaga namun ketika itu rezeki tidak berpihak kepadanya.Menerusi lagu Pakai Buang, langkah Stacy ke pentas keramat AJL24 kian terbuka apabila lagu tersebut turut diumumkan sebagai salah sebuah lagu yang berjaya mengumpul markah tertinggi minggu lalu."Saya terkejut, walaupun keputusan ke peringkat akhir belum muktamad namun, berjaya mendapat top 5 dan membuat persembahan pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik saya betul-betul bersyukur."Kalau ada rezeki ke akhir, saya akan cuba yang terbaik. Sokongan padu daripada peminat ketika membuat persembahan menaikkan semangat saya untuk lebih menjiwai dan seronok ketika membuat persembahan," katanya.

Berbanding Estranged dan Stacy, tiga lagi penyanyi iaitu Black, Nubhan dan Akim yang mendapat markah tertinggi pada minggu lalu masing-masing melahirkan rasa kesyukuran dengan peluang cerah untuk melangkah ke peringkat akhir."Ini pengalaman pertama saya berjaya memasuki peringkat separuh akhir Muzik-Muzik di mana pentas yang amat diidam-idamkan oleh kebanyakan artis tanah air. Ini merupakan satu lagi langkah untuk saya pergi ke tahap yang lebih tinggi," kata Akim.

Bagi Nubhan pula, saingan hebat daripada artis lain yang bertanding membuatkan die bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik dalam persembahannya. "Lagu ini memang sudah selalu saya nyanyikan. Cuma, semangat ketika bertanding dengan semangat ketika membuat persembahan biasa memang berbeza," kata Nubhan.
Sementara itu, bagi Black pula, segala usahanya yang pernah dirotan Mentornya, Mas Idayu ketika menyertai Mentor tidak lama dahulu akhirnya berbaloi apabila lagu nyanyiannya, Aku Rindu Sayang Kamu berjaya tersenarai sebagai top 5."Pengalaman belajar dengan Mas Idayu memang banyak membantu saya. Malah, sehari sebelum bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik, saya ada menghubungi mentor saya untuk mendapatkan beberapa panduan," katanya.

* Source : UTUSAN ONLINE

Categories: