Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Serimah Mohd Sallehuddin dan Zaidi Mohammad
bhnews@bharian.com.my


SELEBRITI tanah air gesa orang ramai untuk turut sama menyatakan ikrar mereka di laman sesawang www.090909.org.my, bagi menyatakan sokongan.

Datuk Siti Nurhaliza, Farah Asyikin dan Nur Fazura serta selebriti tanah air mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai kempen Malaysians Unite for Road Safety (Mufors)

SABAN tahun, begitu banyak nyawa yang terkorban setiap kali tibanya musim perayaan. Di negara ini, dengan jumlah kemalangan yang mencecah sehingga 300,000 dan dengan lebih 6,000 kematian setahun, sudah tentu ia satu perkembangan amat membimbangkan.

Sikap pemandu yang cuai pula dikenal pasti antara punca utama berlakunya kecelakaan jalan raya. Bukan tidak ada kempen keselamatan yang diadakan, bukan juga tiada kursus kesedaran dianjurkan, namun jumlah itu tetap meningkat dari setahun ke setahun. Difahamkan, 18 orang terbunuh setiap hari akibat kemalangan jalan raya. Lalu, apa sebenarnya yang perlu dilakukan bagi membendung kemalangan yang makin bertambah ini?
Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang menyedari betapa seriusnya keadaan itu mengadakan kempen Malaysians Unite for Road Safety (Mufors) 090909. Ia dianjurkan bagi membolehkan kita semua berfikir sejenak serta berikrar untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan jumlah nahas serta kematian di jalan raya.

Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times menyokong usaha Plus itu dengan menghimpunkan selebriti pelbagai bangsa untuk sama-sama berikrar membendung kemalangan jalan raya. Bukan diri sendiri saja yang berusaha untuk mencegah kecelakaan itu, malah mereka turut menggesa orang ramai untuk turut sama menyatakan ikrar mereka di laman sesawang www.090909.org.my, bagi menyatakan sokongan terhadap usaha murni terbabit.

Kempen berkenaan jatuh pada 9 September 2009 bersempena dengan Mufors 090909. Semua rakyat Malaysia digesa untuk menyatakan ikrar mereka dalam mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa pada hari terbabit, antara jam 9 pagi hingga 9 malam. Matlamat kempen selama 12 jam itu mungkin berjaya merubah suasana perayaan tahun ini kepada yang lebih baik.

Datuk Siti Nurhaliza, Penyanyi

"KEMPEN keselamatan jalan raya seperti yang dianjurkan kali ini seharusnya diadakan pada setiap masa. Maklum saja, sebahagian daripada kita mudah lupa. Di samping itu, usah kita bergantung kepada kempen kesedaran itu saja. Paling penting, sikap pemandu itu sendiri. Mereka hendaklah berhemah di jalan raya , selain sentiasa berhemah pada diri sendiri.

"Usah sekali-sekali cuba mengambil risiko apabila berada di atas jalan raya. Ingat, apa-apa keputusan yang kita lakukan, ia turut membabitkan orang lain juga. Jadi, bersedialah sebaiknya sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Periksa kereta sebelum memandu. Kita tahu bukan faktor kenderaan saja yang membolehkan berlakunya sesuatu kemalangan, jadi sentiasalah berhati-hati. Mungkin keadaan cuaca, jalan raya serta sikap pemandu lain boleh mengakibatkan kecelakaan sebegini.

"Sebagai pemandu, kita kena ingat, ada nyawa lain yang menjadi tanggungjawab kita. Manakala penumpang pula, kenalah mereka selalu mengingatkan pemandu untuk berhati-hati. Tanyakan keadaan mereka, terutama bagi mereka yang memandu jauh. Jika pemandu kepenatan, ajaklah mereka berhenti untuk berehat seketika."
Farah Asyikin, Penyanyi

"SAYA berasakan, pendidikan mengenai keselamatan jalan raya patut diberikan kepada generasi muda sejak di bangku sekolah. Untuk mengubah sikap generasi lama, mungkin agak sukar. Lalu, tumpuan kepada generasi baru yang bakal menggantikan tempat kita. Bukan sesuatu yang sukar, kempen kesedaran seperti tayangan visual kemalangan mungkin meninggalkan kesan mendalam. Mereka akan ingat kengerian yang disaksi, seterusnya berazam untuk tidak terbabit dalam situasi sama.

"Ibu bapa dan guru juga memainkan peranan penting dalam hal ini. Selain mengingatkan mereka untuk berhati-hati, ibu bapa juga kenalah menunjukkan contoh yang baik apabila berada di atas jalan raya.

"Sekarang, banyak sekali gangguan yang kita nampak apabila memandu. Bukan saja telefon bimbit, malah kereta hari ini juga dilengkapi pemain MP3, televisyen dan sebagainya. Kurangkan gangguan seperti ini ketika memandu, serta elakkan kecuaian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. Sebaik-baiknya, gunalah kit bebas tangan jika bercakap di telefon."

Fazura, Pelakon

"SEBAGAI pengguna jalan raya, kita perlu main peranan dan jika memandu, hormatilah juga pejalan kaki yang berhak mendapat layanan yang sama. Selain itu, kenalah sentiasa menggunakan isyarat lampu dengan bijak. Jangan memberi isyarat lampu di saat akhir hingga boleh membahayakan orang lain.

“Apa yang penting, jangan membahayakan diri orang lain dan berfikirlah secara waras. Memandu dengan berhemah dan jangan hanya memikirkan diri sendiri saja seperti jalan raya itu milik anda seorang.”

Dayang Nurfaizah, Penyanyi

"JIKA anda ingin berjalan jauh, pastikan lebih daripada seorang yang tahu memandu. Bukannya apa, jika seorang saja yang memandu, ia lebih memenatkan. Paling tidak, dengan adanya pemandu kedua, kita boleh bergilir-gilir.

"Cuba elakkan juga daripada bertolak pada sebelah malam. Saya tahu, ramai yang suka memandu jauh pada waktu malam kerana keadaannya lebih sejuk. Tetapi, pada siang hari, kita boleh nampak suasana di sekeliling. Ia lebih selamat.

"Lagi satu, mungkin kita patut berkongsi kereta pada musim perayaan ini. Bukan saja ia boleh mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan, pemandu juga boleh bergilir-gilir apabila kepenatan. Pastikan juga kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum bertolak."

Alif Satar, Penyanyi

"INGATLAH orang tersayang sekali pun anda bersikap mementingkan diri. Kalau memandu laju natijahnya minyak akan cepat habis. Lalu, jika anda memandu secara berhemah, anda tidak perlu membakar duit untuk mengisi minyak. Mudah saja, kesimpulannya, jimat wang dan nyawa juga tidak melayang.

“Di kala musim perayaan ini, potensi untuk kekerapan jumlah kemalangan itu naik memang akan ada. Melainkan, kita sama-sama memikirkan cara untuk mengelak berlakunya malapetaka dan sekali gus mencapai sifar kemalangan ”

Nubhan, Penyanyi

"BERTIMBANG rasa di jalan raya kerana ia menjadi milik semua, kepunyaan orang ramai. Jangan memandu ikut perasan kerana masing-masing memang mahu sampai ke destinasi dengan selamat. Sebelum memandu, sebaiknya mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental. Emosi juga perlu dijaga. Jangan memandu dalam keadaan yang tidak sewajarnya seperti mengantuk atau penat.”

Camelia, Penyanyi

"SAYA sendiri cuba untuk menjadi pemandu yang bertanggungjawab dan harapnya pemandu yang lain juga berusaha ke arah itu. Baru-baru ini, saya ada menonton saluran CNN dan kajian yang dilaporkan mengatakan punca kenaikan peratusan kemalangan berlaku disebabkan memandu sambil berSMS.

“Kita sepatutnya melihat jalan di depan bukan telefon bimbit. Berjaga-jaga semasa memandu dan sesuatu yang merugikan jika kemalangan berlaku disebabkan telefon bimbit. Nilai telefon bimbit itu pastinya tidak ternilai dengan nyawa kita. Sama-samalah kita menjadi pemandu yang berhemah.”

Mamat Khalid, Pengarah

"SELALUNYA sesetengah masyarakat di negara kita memang tidak mahu menurut sesuatu peraturan atau mendengar nasihat. Ini realiti. Bayangkan saya sendiri berulang-alik menggunakan lebuh raya dari Ipoh ke Kuala Lumpur dalam dua kali seminggu. Kalau dihitung pergi dan balik, kiranya empat kali saya menghabiskan masa di jalan raya.

“Saya berulang-alik sejak 1996, nilai sendirilah berapa banyak pengalaman yang saya sering hadapi di atas jalan raya saja. Nak cakap banyak pun tidak guna, harap patuhi undang undang jalan raya dan praktikkan ciri keselamatan yang diwar-warkan pihak berkaitan."

Faizal Ismail, Penyampai Radio Hot FM

"LAKUKAN penyelenggaraan kereta terutama bagi mereka yang merancang untuk berjalan jauh. Pergi servis kereta walaupun sebelum tarikhnya tamat sempena musim perayaan ini, janganlah kedekut keluarkan wang demi keselamatan keluarga.

“Pilih waktu perjalanan yang sesuai dan berehatlah secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Saya sendiri mengamalkan perkara yang sama, biasanya saya akan memilih sama ada tengah malam atau di awal pagi untuk memulakan perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Bagaimanapun sebelum bergerak saya akan pastikan mendapat tidur yang secukupnya.

“Jika terasa mengantuk, saya sarankan kepada pemandu supaya berhenti untuk berehat seketika tetapi mereka juga perlu memikirkan keselamatan apabila hendak berehat. Jangan pilih tempat yang sunyi, sebaliknya pilihlah tempat yang ramai orang dan cerah agak keselamatan terjamin,” katanya.

Muhammad Azmir Selamat (AG), Penyampai Radio Hot FM

"JALAN raya menjadi tidak selamat gara-gara pemandu yang tidak peka kerana terlalu selesa ketika berada di jalan raya. Pemandu di negara kita perlu mengubah pemikiran mereka dengan mengubah corak pemanduan mereka.

“Bertolak ansur ketika berada di atas jalan raya dan janganlah mementingkan diri sendiri. Setiap individu sebenarnya memainkan peranan penting dalam mengurangkan kadar kemalangan di negara kita. Apabila seorang mula memotong, maka ramai pemandu lain akan mengikut langkah yang sama. Jadi kalau boleh elakkan daripada sikap mementingkan diri sendiri.

“Sebelum pulang ke kampung periksa tayar, pengelap cermin dan lampu kereta berfungsi dengan baik. Pastikan dapat rehat yang mencukupi dan pastikan juga pasangan yang menemani anda juga mendapat rehat yang secukupnya supaya dapat menemani kita sepanjang pemanduan,” katanya.

Engku Emran Engku Zainal Abidin, Ketua Pegawai Operasi Suria FM

"BANYAKKAN bersabar ketika memandu, orang kata rakyat Malaysia kurang kesabaran ketika memandu. Jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya ingatlah nyawa pemandu lain, jangan sentiasa nak cepat. Jika semua orang mematuhi undang-undang jalan raya, angka kemalangan dapat dikurangkan.

“Nyawa tidak boleh dibeli dengan wang ringgit jadi pastikan kereta diselenggara sebelum memulakan perjalanan. Yang penting kereta berada dalam keadaan baik. Ketika memandu, saya juga sentiasa memastikan isteri juga tidak mengantuk sewaktu saya memandu dan dapat menjadi teman berbual sepanjang perjalanan bagi mengelakkan kebosanan.

“Jika bosan atau mengantuk, saya sarankan supaya pemandu berhenti berehat seketika atau paling tidak mencuci muka supaya dapat mengembalikan kesegaran. Ingatlah nyawa keluarga terletak di tangan kita,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Categories:

One Response so far.

  1. Anonymous says:

    walaupon kecik je gmba nye..tetap kelihatan artes pojaanku itu...hik3...;p