SEBUT saja ‘suara angsa’ pasti ramai yang tersenyum dan tahu jolokan ini hanya buat Nubhan.
Bagaimanapun, stigma itu berjaya ditepis Nubhan dengan membuktikan dia mampu menjadi penyanyi yang baik selepas berjaya menyandang tempat ketiga ketika konsert akhir AF6. 

Buat masa ini, Nubhan sibuk mempromosikan album pertamanya yang berjudul Langkah Nubhan. Album itu memuatkan tujuh buah lagu termasuk sebuah lagu Mandarin berjudul Ai Mei Cuo (Cinta Tak Bersalah) yang liriknya hasil garapan Yap Kang Heng. Selain itu ada juga lagu lain seperti Oh Juwitaku, Mata Hati, Beri Rasa Beri Rahsia. 

Pernah bersekolah Cina, ia nyata memberikan kelebihan kepada anak kelahiran Kuala Pilah itu untuk menarik pendengar kaum Cina menghayati lagunya. Apatah lagu wajah Nubhan sendiri ada iras jejaka Cina.


Kini juga Nubhan mula bergerak sendiri selepas bebas daripada sebarang ikatan dengan Artistes United Record Sdn Bhd (AUR) sejak bulan lalu.

Bernaung di bawah syarikat rakaman sendiri, Nubhan Entertainment, anak muda itu dibantu seorang pengurus baru yang dia yakini mampu menguruskan kerjayanya sebagai anak seni. 

Rozalina Zainal Abidin atau dikenali sebagai Lina Brado sudah dilamar Nubhan menjadi pengurus barunya memandangkan Lina seorang yang berpengalaman dalam bidang hiburan. 


Lina sendiri menyifatkan Nubhan seorang yang bersemangat tinggi dan tahu apa yang dia mahukan untuk mempertingkatkan kerjaya seni. Hal ini memudahkan Lina membuat perancangan untuk pemilik nama sebenar Ahamad Nubhan Ahmad itu. 

Lina yang kagum dengan semangat baru Nubhan menambah, dia terlebih dulu bertanyakan Nubhan mengenai rancangannya bagi memperkembang kerjayanya sebagai penyanyi sebelum menerima tawaran Nubhan. 


“Saya perlu tahu apa yang Nubhan sudah rancang untuk masa depannya sama ada perancangannya itu selari dengan apa yang mahu saya rancangkan. 


“Hal ini penting untuk memudahkan saya merancang perjalanan seninya. Setakat ini, saya mula melatih Nubhan menyanyikan lagu-lagu Inggeris untuk menjadikan dia seorang artis ‘versatile’. Bukan hanya bagus dalam menyanyikan lagu Melayu tetapi juga mampu membawa lagu Inggeris,” kata Lina.




*Sumber: Harian Metro Online

Categories: