Nubhan seronok bermain caplong
MAKA itulah, Ahmad Nubhan Ahamad, 25, tidak pernah lupa untuk menjenguk rumah kampungnya yang dijaga kakak sulungnya, Kak Long.
"Walaupun saya dan emak kini tinggal di Senawang, Seremban tetapi apabila ada masa, saya akan balik ke kampung yang penuh dengan ketenangan dan kenangan manis tempat kami lapan adik-beradik dibesarkan," kata Nubhan.
Nubhan yang bernaung di bawah Nubhan Entertainment itu, turut membawa S3 ke kawasan sawah berhampiran rumah kampungnya.
"Sekarang ini kebanyakan sawah di sini dipajak sebab tidak ada orang yang mengusahakannya. Dulu kalau tidak berkubang di sungai, kami akan datang ke sawah.
"Di sini kami akan mengail ikan puyu atau sembilang. Selain mengail kami juga akan menangguk ikan seluang.
"Batang pancing dibuat daripada buluh yang ditebang dari kawasan hutan. Lepas itu guna tali tangsi dan umpan cacing," kata Nubhan yang menggemari permainan caplong.
Buluh yang ditebang, kata Nubhan, bukan sahaja digunakan untuk membuat batang pancing, malah ia turut diguna sebagai senapang atau caplong.
Pelurunya adalah buah cenerai atau pun menggunakan kertas yang dibasahkan untuk main tembak-tembak.
"Kalau kena, memang pedih tapi itu yang seronoknya apabila membesar di kampung," kata pelantun lagu Ada Untuk Mu, Oh! Juwita, Aku Atau Dia dan Mata Hati.
Cerita Nubhan lagi, kampungnya adalah yang terbaik kerana kehidupan zaman kanak-kanak bermain sawah memang menyeronokkan.
"Kalau balik kampung, saya akan cari tiga orang 'member kamcing' yang sama-sama lepak dengan saya dulu iaitu Ajit, Usop dan Zaidi," kata Nubhan sambil memperkenalkan rakan-rakan karibnya kepada S3 yang berkesempatan balik kampung bersama Nubhan baru-baru ini.
Tiga rakan karib Nubhan, Mohd. Nadzir Shamsudin (Ajit), 26, Mohd. Yusuf Md. Ali (Usop), 24, dan Mohd. Zaidi Abd. Malek (Zaidi), 24, ketika diperkenalkan kepada S3, amat ceria dan berbangga kerana mereka tidak pernah dilupakan oleh Nubhan walaupun sudah bergelar penyanyi popular.
Bercerita tentang tiga rakan karibnya, pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu berkata, walaupun berlainan sekolah, mereka akan berjumpa di satu tempat melepak.
"Kami ada satu tempat melepak yang dipanggil 'port', berdekatan dengan hutan di hujung kampung. Jadi, habis waktu sekolah, kat situlah kami akan berkumpul.
"Di 'port' itu, kami bina sebuah pondok di atas pokok untuk lepak. Yang bestnya, pondok kami itu siap dipasang dengan bendera.
"Bendera tu pula, bukan sembarangan. Kalau ia berkibar, itu tandanya waktu untuk lepak dan selalunya, dari rumah masing-masing, kami akan tengok ada bendera atau tidak.
"Kalau bendera sudah berkibar, tandanya geng sudah sampai di 'port'," katanya sambil ketawa kerana teringat zaman kanak-kanak.
Nubhan yang sibuk mempromosikan album pertama berjudul Langkah Nubhan, turut berkongsi cerita bagaimana dia dan kawan-kawannya bina pentas buluh di kawasan melepak.
Katanya, di pentas buluh itulah mereka mengadakan persembahan kerana dulu dia dan rakan-rakan sering jamming di studio di bandar Kuala Pilah.
"Ajit dengan Usop pandai main gitar. Saya pula, memang dari dulu tidak gemar bermain alat muzik sebab lebih pada nyanyian. Sampai sekarang kalau ada persembahan, dia orang ini akan mengiringi saya menyanyi," ujarnya.
Mengimbau kembali perjalanan seninya, Nubhan berkata, pada waktu dulu mereka menyertai kumpulan kompang kampung yang sering diundang pada majlis perkahwinan.
Bagaimanapun setelah beberapa kali mengadakan persembahan mereka menubuhkan kumpulan sendiri untuk mencari wang saku.
*Credit to: Utusan Malaysia online
Categories:
Media
seronokkn dok kt kg :D
haha...tau x pe...mesti besar bendera tu smpai boley tgk ke umah ...