Artis realiti TV berdikari
--------------------------------------------------------------------------------
MENJADI ‘graduan’ program realiti televisyen bagaikan satu bonus buat Ahmad Nubhan Ahmad atau Nubhan dan Mohd. Izwan Mohd. Nor atau Mohd. untuk mudah dikenali atau dalam erti kata lain cepat popular.
Nubhan mula dikenali umum selepas program realiti televisyen Akademi Fantasia musim keenam (AF6) yang berlangsung pada tahun 2008 manakala Mohd. Izwan atau nama komersial Mohd. lahir daripada program Mentor musim keempat pada tahun lepas.
Namun, tidak mudah sebenarnya untuk mereka meredah dunia hiburan. Apatah lagi persaingan hebat dengan muka-muka baru yang wujud daripada pelbagai program realiti TV yang lain.
Tempoh tiga tahun selepas bergelar graduan AF6, membuatkan Nubhan, 25, menimba selok-belok dunia hiburan. Kini, pengalaman yang ada memaksanya untuk berdikari sendiri apatah lagi bebas untuk memilih hala tuju kerjayanya.
Kata Nubhan: “Sudah tiga tahun saya bergerak di bawah pengurusan. Kini tibalah untuk saya berdikari dan bergerak sendiri. Bukan bermakna saya ada masalah dengan pengurusan tetapi ia berlaku dengan cara baik.”
Baru sebulan bergerak menguruskan sendiri di bawah syarikatnya, Nubhan Entertainment, pelbagai perancangan kerjayanya pada masa hadapan sedang berlegar-legar di benak anak muda yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu.
Bagi Nubhan, dia kini bebas untuk menentukan hala tujunya sendiri biarpun menyedari pelbagai risiko dan cabaran yang bakal dilalui.
“Sebelum bergerak menguruskan sendiri, saya sudah mengkaji pelbagai aspek yang akan saya lalui pada masa hadapan. Apabila difikirkan masak-masak, saya telah buat keputusan untuk menanggung risiko yang akan dilalui.
“Dengan bergerak sendiri sekurang-kurangnya saya boleh mencapai impian sendiri dengan lebih mudah tanpa apa-apa kongkongan,” kata Nubhan yang telah menubuhkan Nubhan Entertainment sejak setahun lalu.
Fasa baru perubahan Nubhan setelah menguruskan sendiri kerjayanya bermula dengan perubahan pertama iaitu imej yang lebih segar dan sesuai dengan usianya.
Masih mengekalkan imej remaja, Nubhan kini ingin dikenali dengan gaya yang lebih matang dan bergaya agar lebih diterima oleh pelbagai lapisan peminat.
Masih ingin mahu mendapat tempat di hati peminat remaja, Nubhan kini juga berusaha agar lebih dikenali oleh golongan dewasa dan korporat. Buktinya, Nubhan sudah mula meletakkan tapaknya dengan menyertai persembahan di majlis-majlis korporat.
“Imej terbaru saya bukanlah perubahan besar tetapi ia cuma disegarkan dengan gaya yang lebih matang sesuai dengan usia saya kini. Elemen remaja masih dikekalkan dalam penampilan saya.
DUA anak muda ini menaruh harapan yang tinggi untuk mencipta nama dalam dunia nyanyian tanah air.
--------------------------------------------------------------------------------
“Penampilan ini juga perlu agar saya diterima oleh golongan-golongan korporat dan bukan sahaja peminat remaja yang masih menyokong saya,” katanya ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Strategi pertama Nubhan seakan tercapai apabila dia kini mula diterima golongan korporat. Tidak mudah untuk penyanyi remaja sepertinya untuk serasi dengan majlis rasmi, Nubhan kini berusaha mencari jalan agar identitinya diterima.
Pelbagai aspek dipelajari termasuklah cara berkomunikasi, etika berpakaian serta lagu-lagu yang sesuai untuk meraikan golongan-golongan eksekutif.
“Saya banyak belajar daripada persembahan artis-artis hebat yang sering diundang melakukan persembahan dalam majlis rasmi.
“Dari situ, saya belajar bagaimana untuk mendekatkan diri dengan mereka. Pastinya cara berkomunikasi mesti betul dan golongan itu lebih meminati lagu-lagu lama. Saya sedang berusaha untuk mencapai ke arah itu,” katanya lagi.
Namun, berbeza pula ceritanya dengan Mohd. Namanya pernah melonjak suatu ketika dahulu, apatah lagi menjadi protege penyanyi tersohor Ziana Zain menaikkan lagi popularitinya.
Lesu
Bagaimanapun, setelah bergelar juara dan keluar daripada program itu nama Mohd. seolah-olah tenggelam, tidak seperti juara Mentor sebelum itu iaitu Black dan Fiq.
Tidak menyalahkan sesiapa, Mohd. yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone akur bahawa rezekinya masih belum tiba namun komited untuk mengeluarkan albumnya pada tahun hadapan.
“Memang nama saya agak lesu ketika ini. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara ini. Mungkin kerana pasaran hiburan belum membuka ruang untuk saya mengeluarkan album sendiri.
“Namun, saya tetap komited untuk berusaha menghasilkannya (album) kelak. Kak Ziana (Ziana Zain) juga banyak membantu saya walaupun kami tidak lagi bersama selepas berakhirnya program Mentor,” kata Mohd. kepada Kosmo!.
Mohd. baru sahaja melancarkan single terbarunya berjudul Nasib sejak dua minggu lalu. Kini, lagu-lagu tersebut boleh didengari di stesen-stesen radio tempatan.
Menariknya, single tersebut memberi makna yang besar kepadanya kerana lirik lagu tersebut merupakan ciptaannya sendiri.
“Lagu Nasib yang berentak rancak sudahpun boleh didengari di corong radio. Lagu ini memberi makna yang besar kepada saya kerana liriknya merupakan ciptaan pertama saya sendiri.
“Selain lagu ini, saya juga telah mencipta tiga buah lagu lain untuk dimuatkan dalam album saya itu nanti,” kata Mohd.
Mohd. yang masih solo turut menyatakan ciri-ciri gadis pilihannya jika jodoh sampai. Mahu serasi dengan jiwanya, Mohd. memilih untuk mendekati gadis berjiwa tradisional.
“Saya mengimpikan seorang gadis kampung kerana saya juga dari kampung. Dia mestilah bertudung, pandai menjaga hati orang tua dan tidak terlalu bersosial,” katanya.
credit to : Kosmo online
Categories:
Media
Post a Comment