Penampilan dan sikap bekas pelajar yang memenangi tempat ketiga Akademi Fantasia musim keenam (AF6) ini berbeza sekali apabila dia kini sudah petah berkata-kata, bergurau dan ramah berbicara.

bertemu empunya nama Nubhan baru-baru ini, jejaka yang dulunya pemalu seperti yang pernah menjadi rungutan wartawan ini tampil sedikit yakin tidak seperti di awal kemunculannya.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Ada Untukmu dan Seadanya Aku ini berjaya melakukan perubahan dalam dirinya dengan menyanyikan lagu berbahasa Mandarin yang meraih perhatian peminat.

Anak kelahiran Negeri sembilan ini sentiasa mengukir senyuman tatkala beberapa soalan berkenaan kerjayanya diutarakan sepanjang sesi temuramah berjalan.

Namun, menariknya jejaka ini juga akan meneruskan merakam lagu Mandarin untuk dimuatkan di dalam album seterusnya akan dipasarkan tak lama lagi.

"Dengan kebolehan bertutur dalam bahasa mandarin, saya rasa tidak salah jika menggunakan kelebihan yang ada pada cara yang betul. Bagi saya, ini satu langkah yang baik untuk memperluaskan kerjaya seni dan saya sendiri memang sudah bersedia untuk masuk kepasaran mereka (Cina)," kata nubhan yang pernah belajar di sekolah aliran Cina selama lapan tahun.

Akui anak bongsu daripada lapan beradik ini, karier seninya juga semakin menunjukkan perkembangan positif

Berbicara berkenaan perkembangan dunia seninya, dalam nada ceria, Nubhan yang pernah muncul dalam membawa album yang berkonsepkan modern pop, berkata pengalaman merakamkan serta menyanyikan lagu dalam bahasa mandarin menggunakan judul Ai Mei Cuo yang liriknya ditulis oleh Yap Kang Heng adalah bonus atau batu loncatan untuknya terus memikat pendengar lagu-lagu seperti itu.

Pernah bekerja dibawah pimpinan nama terkemuka seperti Audi Mok serta Sharon Paul, jejaka comel yang mempunyai kelebihan boleh bertutur bahasa Cina dengan lancar ini, berkata dia akan merakamkan dua atau tiga single selepas Syawal dan berharap lagu-lagunya akan diterima peminat setianya.

"Sambutan terhadap lagu saya sepeti Juwita amat baik dan saya akan terus menyanyikan lagu bahasa Cina mendapat penerimaan yang baik," katanya yang tidak menafikan mahu mengembangkan sayapnya untuk menjadi penyanyi serba boleh.

Walaupun bukanlah menjadi satu perkara mudah untuk menyampaikan lagu dalam bahasa Cina, dia sentiasa dalam proses pembelajaran terutama dalam soal sebutan yang betul.

"Bercakap dan menyanyikan lagu adalah dua perkara berbeza. Dulu ketika merakamkan lagu cina, saya diajar oleh dua rakan dari kaum cina yang saya anggap sebagai guru dan merekalah yang membetulkan sebutan saya" jelas Nubhan yang sudah mendapat beberapa tawaran menyanyi pada Ramadan ini dan turut bersyukur rezeki puasanya amat memberangsangkan.

"Saya terima undangan menyanyi di karnival bazaar Ramadan dan kini mahu fokus pada bidang nyanyian," katanya sambil tersenyum.

Jejaka ini memberitahu, banyak perancangan seninya yang sudah dirancang dan dia kini dalam proses memantapkan vokalnya.

"Saya kini mengikuti kelas vokal dan sebagi artis saya perlu sentiasa berusaha memantapkan vokal," katanya mengakhiri perbualan.

Categories: