Belum lagi 'tenggelam'


MUNGKIN saya terlalu sibuk menguruskan syarikat sendiri sampaikan orang melihat dan mengatakan saya sudah tenggelam. Sebenarnya tidak. Masih banyak perancangan yang akan saya buat untuk kerjaya nyanyian saya sejak tidak diuruskan oleh mana-mana pihak lagi," kata Nubhan baru-baru ini.

Pelbagai andaian mula bersarang apabila melihatkan Nubhan sedikit tenggelam sejak kebelakangan ini. Padahal penyanyi yang dicungkil bakat daripada program Akademi Fantasia keempat itu paling menonjol jika mahu dibandingkan dengan peserta yang lain ketika itu.

Setelah tidak diuruskan oleh sebuah syarikat pengurusan artis yang menaikkan namanya, Nubhan seperti hilang arah. Impaknya sudah tidak sama seperti dahulu lagi, kata beberapa pemerhati industri seni kepada Pancaindera.
Menafikan dakwaan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak kepadanya, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini tahu apa yang terjadi pada dirinya. Tidak mahu mengulas lanjut mengenai apa yang telah terjadi, Nubhan yakin dapat menguruskan diri sendiri dengan tertubuhnya syarikat miliknya.

"Memang saya terlalu sibuk dengan syarikat baru ini sampaikan orang nampak saya dah kurang menyerlah. Tapi apa yang saya lakukan ini memang benar-benar serius untuk meneruskan kerjaya seni.

"Saya sendiri yang menguruskan segala-galanya sekarang. Daripada pemilihan lagu sampailah ke proses memasarkan nanti akan saya buat. Pengalaman yang ada sebelum ini saya kumpul buat bekalan masa hadapan.
"Bila bergerak secara sendiri ni memang banyak cabaran. Banyak perkara yang saya belajar mengenai selok boleh menguruskan pelbagai perkara. Sampai bila nak harapkan orang? Sebab tu saya beranikan diri cuba sendiri.

"Nampaknya semuanya dalam proses yang cukup memberangsangkan. Macam sekarang ni pun saya tengah sibuk dengan penggambaran muzik video lagu terbaru yang berjudul Picisan," kata Nubhan lagi.

Kali terakhir muncul dengan lagu Mata Hati, kini Nubhan yakin pertaruhan lagu Picisan bakan memberikan impak kepada kerjaya seninya. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Taja Meet Uncle Hussain dan AD Samad itu akan memberi saingan kepada lagu-lagu popular terdahulu.

Semakin lama berada di dalam industri seni, penyanyi yang berusia 26 tahun ini semakin selesa dengan segala-galanya. Biarpun persaingan daripada penyanyi lain makin dirasai, itu bukan alasan untuknya gagal memberikan yang terbaik.

"Selagi kita ikhlas dan memberikan yang terbaik buat peminat, selagi itu kita mampu bertahan. Terpulang kepada diri sendiri untuk meletakkan taraf kita di mana," katanya lagi.

Bercerita mengenai perkembangan terbaru pula, Nubhan baru sahaja selesai menjelajah ke negara yang mempunyai penduduk hampir 1.4 bilion manusia. Penjelajahan yang dirancang oleh pihak lain itu disambut dengan perasaan gembira apatah lagi melancong merupakan aktiviti wajib setiap tahun.

Pernah menjelajah ke Jepun, Maghribi, Sepanyol dan Australia, peluang untuk melihat sendiri negara yang berkeluasan 9.6 juta kilometer persegi itu.

Menjelajah ke satu kota yang cukup asing buat dirinya memberikan dimensi baru memandangkan China mempunyai pelbagai sejarah yang belum diketahuinya.

Kali ini dia tidak bercuti sendirian sebaliknya ditemani hampir 20 orang peminat setia penyanyi ini menjelajah ke Beijing selama enam hari.

"Waktu kami tiba di sana suhu mencecah -10 darjah celsius. Memang sejuk sangat dan kebetulan salji sedang turun di sana. Walaupun sejuk kami satu rombongan tak peduli sebaliknya segenap kota kami singgah.

"Ini memang satu pengalaman yang cukup menarik bagi saya. Selama ini hanya dapat tengok Tembok Besar China dalam tv dan gambar tapi kali ini saya sendiri yang berada di situ.

"Kami menjelajah hampir segenap bandar Beijing. Ini bukan sekadar percutian sebaliknya banyak informasi baru yang saya pelajari. Bila tengok peminat gembira, saya pun turut gembira.

"Kalau ada masa lagi memang saya akan buat lagi acara macam ni. Selain dapat teroka tempat baru kita juga dapat berkenalan dengan lebih rapat dan mesra dengan peminat setia," jelasnya.

credit to : utusan.com.my

Categories: