Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
MEMILIH dua negara yang berbeza sebagai destinasi percutian yang ideal, ternyata memberikan keseronokan buat penyanyi muda yang sedang meningkat ini.
Paling membanggakan sudah pasti berpeluang menjejakkan kaki ke negara Maghribi yang cukup terkenal dengan seni bina dan ukiran Islam yang cukup dibanggakan oleh seisi negaranya.
Penjelajahan itu tidak terhenti setakat itu sahaja sementelah Nubhan menghabiskan masa ke negara Sepanyol yang cukup terkenal dengan kehandalan matador itu.
Memilih tarikh 6 hingga 14 Oktober yang lalu, Nubhan memulakan penjelajahan ke kedua-dua buah negara bersama ibu saudara dan keluarga angkatnya.
Biarpun terpaksa mengambil masa selama 16 jam perjalanan melalui udara untuk sampai ke Maghribi, perasaan teruja terus menyelubungi penyanyi tinggi lampai ini sebaik sahaja menjejakkan kaki ke negara Eropah itu.
“Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Maghribi tak dapat digambarkan bagaimana gembiranya saya. Yalah, orang macam saya yang tak pernah sampai ke tempat macam tu.
“Memang saya aku cukup teruja melihat seni bina bangunan di sekitar bandar Casablanca yang merupakan bandar terbesar di negara tersebut.Memang cukup berbeza dengan tempat-tempat lain yang pernah saya lawati sebelum ini.
“Orang kata di Maghribi ni banyak perkara yang pelik-pelik termasuklah orangnya. Tapi apa yang saya lihat banyak tinggalan perang yang ada di kebanyakan bandar yang ada di sini.
“Ini menambahkan lagi rasa teruja memandangkan banyak perkara baru yang singgah dalam kepala saya,” kata Nubhan tertawa.
Maghribi merupakan negara yang cukup istimewa memandangkan dia dikeliling Lautan Atlantik dan Laut Mediterrenean di sebelah timur negara berkenaan. Negaranya juga bersempadan dengan negara Algeria di sebelah Timur manakala di sebelah Selatan pula Mauritania.
Mempunyai penduduk hampir 33 juta orang, negara yang mempunyai keluasan 710,580 kilometer persegi. Hampir keseluruhan penduduknya berketurunan Berber-Arab yang bernaung di bawah Raja Mohammed V1.
Empat hari berada di sana, kata Nubhan negara Maghribi memang mempunyai tempat yang cantik tetapi kurang membangun jika mahu dibandingkan dengan Malaysia.
“Kalau kita lihat di Malaysia semuanya dah maju. Kita berbangga memiliki LRT atau monorail. Tapi di sana hampir keseluruhan penduduknya masih menggunakan bas dan kereta api sebagai pengangkutan utama.
“Perasaan itu mungkin lain bila saya naik bas. Mereka masih menggunakan konduktor bas, ada tukang check tiket sedang kita di Malaysia hanya ada pemandu bas.
“Paling menarik apabila dapat menjejakkan kaki ke Marakesh. Dia merupakan satu tempat membeli belah yang paling meriah dengan kehadiran ramai pelancong.
“Ia terletak di sebuah pekan lama yang bernama Medina di mana menempatkan ratusan peniaga yang menjual bermacam-macam jenis barangan yang terdiri daripada barangan kulit, jubah dan macam-macam lagi.
“Apa yang uniknya di sini mereka berniaga di celah-celah lorong yang panjang dan sempit. Malah peniaga di sana juga masih menggunakan keldai dan kuda sebagai kenderaan untuk mengangkut barang berniaga.
“Bila keldai atau kuda lalu sahaja, terus jalan di situ sesak. Memang kelakar,” kata anak muda yang berusia 24 tahun ini lagi.
Adat berkunjung ke tempat orang, pasti ada yang menegur. Cerita Nubhan kebanyakan orang di sekitar bandar Casablanca menyapa dirinya dengan panggilan Jackie Chan disebabkan raut wajahnya dan matanya yang sedikit sepet.
Tak kurang juga yang mengatakan dia orang Jepun. Tapi bagi penyanyi yang cukup popular dengan lagu Ada Untukmu itu, semuanya cukup menjentik rasa gembira memandangkan ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan situasi tersebut.
Sesat di Sepanyol
CUKUP seronok menikmati kesan tinggalan seni bina Islam di Maghribi penjelajahan Nubhan tidak terhenti setakat itu sahaja. Dia dah ahli rombongan yang lain meneruskan perjalanan ke Sepanyol.
Perjalanan ke Serville tidak semudah yang disangka. Kata Nubhan mereka menggunakan jalan darat untuk sampai ke Serville dengan menggunakan bas, kereta api dan kapal terbang.
“Hampir lima jam kami menaiki bas daripada Casablanca menuju ke Serville. Tapi tak sampai lagi tau. Kena naik kereta api lebih kurang lima jam sebelum memutuskan untuk meneruskan perjalanan dengan kapal terbang,” kata Nubhan tertawa mengenangkan perjalanan jauh yang terpaksa dihadapinya itu.
Kunjungan ke negara yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik 1992 cukup indah dirasakan. Paling membanggakan apabila dapat melihat sendiri keindahan pemandangan sepanjang perjalanan ke Servilla yang sebelum ini hanya mendengar cerita orang sahaja.
Kata Nubhan, tatkala menjejakkan kaki ke Serville, pelbagai masalah yang timbul akibat masalah komunikasi dengan orang di sana. Itu belum lagi masalah hotel yang penuh sehingga memaksa mereka ‘berkunjung’ dari satu hotel ke hotel yang lain.
“Orang sana tak pandai cakap Inggeris. Jadi komunikasi tu sangat terhad dan cukup membebankan. Bayangkan masalah-masalah lain yang timbul selepas itu.
“Kami naik dua teksi yang berbeza sebab ahli rombongan ramai. Bila cakap dekat pemandu teksi yang ikut teksi di hadapan, dia angguk sahaja. Tapi akhirnya kami terlepas dan tersesat jauh daripada teksi hadapan.
“Memang panik waktu itu. Sudahlah tempat yang nak dituju tu tak tahu, nak bercakap dengan orang di situ pun susah. Telefon pula dah habis bateri. Memang cukup mencabar perjalanan kali ini.
“Akhirnya kami sepakat untuk ke lapangan terbang pada sebelah malamnya. Hanya pada pagi esok barulah kami jumpa ahli-ahli yang lain di tempat yang sama,” kata Nubhan lagi.
Kalau mengikutkan kedudukan geografi, Sepanyol sebenarnya bersempadan dengan negara Portugal di sebelah barat dan Maghribi di sebelah Selatan. Di timur laut, sepanjang banjaran Pyrenees, Sepanyol bersempadan dengan Perancis dan kerajaan kecil Andorra.
Bagi Nubhan biarpun tidak mengembara ke seluruh negara Sepanyol, tetapi berada di Serville, kota yang dipercayai wujud sejak 2,000 tahun terdahulu sudah menggembirakan.
Untuk mencari makanan yang halal bukan satu perkara yang mudah. Untuk itu mereka hanya menjamah sandwich tuna sebagai alas perut biarpun ada yang meragui status halal tersebut.
“Apa nak buat? Itu sahaja yang ada. Nak tak nak kena makan juga. Kata orang tawakal sajalah. Tapi ada dekat sana ada banyak tempat menarik yang boleh memukau pandangan mata.
“Saya sempat mengunjungi La-Hambra, sebuah istana tinggalan pemerintahan Islam zaman dahulu. Menikmati pemandangan yang cantik dan melihat taman yang cukup indah.
“Kalau mengikut sejarahnya, asalnya ramai penduduk di situ menganut agama Islam. Tapi kebanyakan mereka ramai yang bertukar kepada agama Kristian akibat pemerintah ketika itu.
“Malah ada ditulis, barang siapa yang keluar rumah sebagai seorang Islam, dia akan dipancung. Mungkin dah tak ada lagi orang Islam dekat kawasan tersebut,” jelasnya yang pernah berkunjung ke Jepun dan Gold Coast, Australia sedikit masa lalu.
Bagi Nubhan, menjejakkan kaki ke negara orang itu merupakan pengalaman yang cukup indah. Lebih banyak cabaran yang dihadapi lebih banyak pengalaman yang diperoleh.
Selepas ini anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu sedang berkira-kira untuk mengembara ke Cape Town, Afrika pada tahun hadapan sebelum menunaikan umrah.
*Sumber: Utusan Online
Categories:
Media
Post a Comment