Oleh Zaidi Mohamad
2010/09/05



KAMPUNG halaman sedang melambai-lambai kerana kurang seminggu lagi kita akan meninggalkan Ramadan 1431 Hijrah, sekali gus meraikan kedatangan 1 Syawal. Persiapan saat akhir juga masih dilakukan ketika ini sebelum berangkat pulang ke kampung masing-masing. Beberapa lokasi tumpuan masih disinggahi contohnya seperti Jalan Masjid India.

Tiga selebriti yang mana bakat mereka mula diserlahkan daripada program realiti popular, Akademi Fantasia (AF), Nubhan, Lufya dan Rini juga tidak ketinggalan ‘menyerbu’ destinasi membeli belah yang cukup popular itu sekalipun terpaksa berada dalam lautan manusia yang berpusu-pusu ke sana.

Mereka bertiga akui seronok membeli-belah pakaian raya sehingga begitu leka memilih kain persalinan dan kelengkapan berkaitan hari raya di gedung tekstil popular, Jakel. Dari satu tingkat ke satu tingkat, mereka begitu rabun mata mempertimbangkan warna mana yang sesuai untuk digayakan di pagi raya. Kemudian mereka berlegar pula di sekitar Jalan Masjid India dan jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Berbanding Rini, Nubhan dan Lufya lebih dulu merasai kehangatan lebaran kerana menyambutnya selepas sebagai artis selepas menyertai AF musim keenam. Rini, 26, pula merasainya setahun selepas mereka. Bagaimanapun, peserta AF musim ketujuh itu lebih merasai bahangnya pada tahun ini.

“Ini tahun kedua saya menyambut raya sebagai artis. Kalau tahun lalu, saya masih tidak tahu membawa diri sebagai artis. Tapi tahun ini, saya akui mula rasa teruja. Rezeki pun lebih sikit tahun ini dan saya bercadang nak membeli baju raya untuk seisi keluarga,” kata anak kedua daripada enam beradik itu.

Rini yang mempunyai adik kembar bernama Rina ini seperti biasa sekeluarga akan pulang beraya ke Ulu Yam Baru Selangor. Malah penyanyi yang dikenali dengan lagu Mainan Jiwa dan Penipu ini seperti tahun lalu akan beraya di rumah tunangnya, bakal cikgu bernama Johanis Nordin, 28.

“Kami sekeluarga akan bergerak dari rumah di Bandar Baru Bangi untuk pulang ke Ulu Yam Baru. Bukan jauh sangat pun. Raya pertama dan kedua, selalunya dikhaskan untuk beraya sesama keluarga di kampung. Masa itulah ambil peluang berkumpul dengan saudara mara yang lain.
“Raya ketiga, barulah saya dan tunang akan bertandang di rumah keluarga masing-masing. Saya akan ke rumah keluarganya di Lenggeng, Negeri Sembilan. Kami berkawan selama enam tahun sebelum sepakat untuk mengikat tali pertunangan sejak setahun lebih yang lalu.

“Tahun ini, nampaknya juga bajet duit raya untuk adik beradik dan anak buah terpaksa ditambah,” ungkapnya yang mahu memberi perhatian penuh terhadap dunia nyanyian pada tahun ini.

Nubhan ziarah kubur arwah bapa

Bagi Nubhan, pemenang tempat ketiga AF6 ini lebih gemar bersederhana namun tetap meriah dalam membuat persiapan menanti ketibaan lebaran. Tahun ini juga menjadi tahun kedua, Nubhan sekeluarga beraya tanpa kehadiran bapa, Allahyarham Ahamad Ahdi Rahman.

“Sebagai anak bongsu yang mempunyai sumber pendapatan, saya sendiri tak betah duduk diam tanpa memberi sokongan berbentuk wang dalam melunaskan persiapan raya yang dibuat. Kami lapan beradik akan berkongsi wang untuk membeli barang kepada emak. Kami juga tak lupa akan menziarahi kubur arwah bapa di pagi raya.

“Bukannya apa, kalau membeli belah dengan emak, semua barang dia tak nak kami belikan. Semua mahal pada matanya. Saya pula lebih suka membeli barang sendiri dengan kawan-kawan di pusat membeli belah yang ada di Negeri Sembilan. Saya pun tak memilih barang berjenama atau tidak, janji selesa dipakai,” katanya sambil berseloroh dan akui sudah jelak dengan kek coklat yang sering menjadi menu hidangan kakaknya di hari raya saban tahun.

Sepatutnya pada tahun ini, Nubhan sudah berpuasa dan beraya di rumah baru di Senawang Park City sejak Jun lalu. Namun kerana belum mendapat kelulusan sijil kelayakan menduduki rumah itu lagi, nampaknya Nubhan dan keluarganya akan tetap beraya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Sudah 27 tahun saya beraya di Kuala Pilah. Apa yang lebih penting, kami dapat berkumpul. Saya juga teruja menanti kehadiran album sulung berjudul Langkah Nubhan. Sepatutnya sudah berada di pasaran. Tapi, nampak gayanya mungkin lepas raya nanti baru akan ada di pasaran.

“Segala persiapan untuk album itu sudah siap. Selepas single lagu Oh Juwita, menyusul lagu Aku Atau Dia. Saya sendiri sudah tidak sabar melihat album sulung ini akan berada di pasaran nanti. Harapnya album ini akan sukses dan menjadi penanda aras kepada legasi seni saya yang baru genap tiga tahun pada bulan ini,” katanya yang akan muncul dengan telefilem Cerita Hantu Di Hari Raya.

Lufya pakai jubah lebaran

BAGI Lufya, 25, sepanjang Ramadan ini, dia sibuk melunaskan kerja pembikinan lagu bagi memantapkan profil seninya sebagai seni. Selepas muncul dengan single Diam, diikuti pula dengan lagu Kaki Pengikis. Kata Lufya, tahun ini dia mahu berjuang habis-habisan untuk memastikan namanya sebagai penyanyi terus diingati.

Katanya, selain berada di Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Lufya banyak menghabiskan masa di Singapura untuk tujuan kerjaya nyanyiannya. Insya-Allah, selepas musim raya nanti, Lufya akan merakam dua klip video bagi dua lagu dendangannya.

“Memang tahun ini, saya kena berkorban sikit masa bersama keluarga. Tapi itu tak bererti saya tidak akan mencuri peluang untuk berbuka puasa dan membuat persiapan raya bersama-sama. Selalunya kalau membeli belah, sebagai kakak sulung kepada empat orang adik, saya selalu jadi penasihat dalam bab itu.

“Sayalah yang akan memilih baju yang sesuai untuk adik. Kalau ada bajet lebih, saya juga yang akan berbelanja untuk mereka. Saya sendiri pun buat persiapan ala kadar saja. Cukup dengan membeli baju kurung atau kebaya sebanyak lima pasang.

“Selalunya kalau pagi raya, saya lebih suka mengenakan jubah. Maklumlah sebab mempunyai campuran darah Arab, jadi jubah itu sudah menjadi kemestian. Banyak juga simpanan jubah termasuklah yang kawan saya belikan ketika pulang dari Tanah Suci Makkah,” kata Lufya yang juga anak saudara kepada Betty Banafe.

Dalam pada itu, Lufya turut memberitahu mengenai kemungkinan kisah Awekku Bukan Awekmu yang akan dipanjangkan menjadi drama bersiri. Malah lebih menarik, lagu Diam nyanyiannya juga bakal dijadikan sebagai lagu teman cerita terbabit.


*Sumber: Berita Harian Online

Categories: