Teks oleh Thani Hasbullah

KUALA LUMPUR, 24 MEI 2010 : Jarang sekali penonton tempatan disajikan dengan filem-filem hasil adaptasi daripada novel. Bagaimanapun, hal ini menjadi kebiasaan di kalangan pembikin filem Hollywood.
Bagi mencetuskan kelainan ini, syarikat produksi Astro Shaw bakal menampilkan novel tempatan yang mencatat jualan terlaris sepanjang zaman (sebanyak 170 naskah) iaitu Lagenda Budak Setan (LBS) ke layar perak. Ia dijangka menemui penonton bermula 3 Jun 2010 nanti.
Filem LBS yang mengisahkan percintaan 3 segi itu pastinya sangat dinanti-nantikan seluruh peminatnya dan ia seolah-olah mengembalikan semula zaman kegemilangan novel remaja yang pernah diterbitkan sejak 25 tahun dulu (1985).
Penulis novel LBS, Ahadiat Akashah ketika ditemui berkata, dia sangat berbangga dan terharu kerana ada pihak yang mempercayai novelnya untuk diterbitkan ke filem.
"Selepas 25 tahun saya menunggu akhirnya ia direalisasikan juga. Saya sangat bertuah kerana dalam beribu-ribu novel yang berada di pasaran, LBS juga yang menjadi pilihan penerbit.Pada peringkat awal selepas LBS dihasilkan, saya tidak menjangkakan ia diterbitkan ke filem. Apatah lagi pada masa tu saya hanya menulis atas dasar main-main.
"Bagaimanapun, tidak berapa lama kemudian ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat dan ramai yang meminta supaya ia diterbitkan ke filem. Malah, sebelum ini, ada juga beberapa produksi memohon mengadaptasikannya tetapi semua perbincangan hanya dilakukan sekerat jalan," katanya.
Tentang pandangannya terhadap pembikinan filem LBS yang kini sudah siap sepenuhnya, Ahadiat berkata, biarpun ada sedikit perbezaan dari sudut pengolahan cerita di antara novel dan filem, namun dia cukup berpuas hati dengan hasil keseluruhan.
"Terutama sekali dalam penyampaian masej, cinematografi dan kebolehan pelakon-pelakon dengan membawa watak masing-masing. Kalau tidak puas hati masakan saya boleh menangis sewaktu menontonnya.
"Tentang perbezaan dari sudut latar belakang cerita yang wujud di dalam filem ini pula, bagi saya ia harus dilakukan begitu bagi menyesuaikan pada keadaan semasa, apatah lagi zaman sekarang jauh berbeza berbanding 25 tahun dulu.
"Walaupun saya menulis sendiri novel ini tetapi saya tidak masuk campur dengan hal-hal produksi kerana khuatir menggangu kreativiti pengarah.,"katanya ketika bercakap di Majlis Pratonton filem tersebut di Golden Screen Cinema, Mid Valley, Kuala Lumpur.
Filem bernilai RM1.6 juta, arahan Sharad Sharan terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dengan kerjasama Tarantella Pictures ini dibarisi pelakon hebat seperti Farid Kamil yang menjadi tonggak utama (Kasyah), Lisa Surihani (Ayu), Nurashiqin (Emilia, Ayu), Que Haidar (Azmi), Leha (Shiela Mambo), Raja Farah (Suzana) dan Fazura (Katerina).

*Sumber: Murai.com

*Nantikan Lagenda Budak Setan di pawagan pada 3 Jun 2010.


Categories: