Penyanyi yang popular dengan lagu "Ada Untukmu", Nubhan kini semakin dikenali melalui single "Oh Juwita" yang kian kerap diputarkan di corong-corong radio.
Namun di sebalik populariti lagu tersebut, ada pihak yang mengatakan cara nyanyian penyanyi yang dilahirkan melalui program realiti Akademi Fantasia ini mirip vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi.
Berkesempatan menemubual Nubhan baru-baru ini, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menafikan dakwaan tersebut. Walau bagaimanapun dia mengakui "Oh Juwita" sememangnya mirip dengan muzik yang sinonim dengan kumpulan 6ixth Sense, lantaran lagu tersebut dicipta oleh kumpulan berbakat itu sendiri.
Apa yang Nubhan lakukan sekarang? Maksudnya aktiviti seni Nubhan sebab sejak kebelakangan ini tidak banyak cerita mengenai Nubhan yang dipaparkan di media.
Sekarang saya masih sibuk dengan aktiviti seni. Malah setiap minggu ada sahaja persembahan pentas yang saya jayakan di seluruh negara. Album sulung saya akan berada di pasaran tidak lama lagi. Kalau mengikut perancangan album saya sudah dipasarkan sejak Februari lalu, namun oleh kerana beberapa sebab-sebab tertentu ia terpaksa dipasarkan awal bulan April.
Kawan-kawan seangkatan Nubhan yang lain semuanya sudah mempunyai album sendiri. Tidakkah Nubhan rasa terlalu lama masa yang diambil untuk menghasilkan album sulung Nubhan?
Memang agak lama. Tetapi sebelum ini ketika saya sedang dalam proses membuat album, wujud masalah daripada aspek syarikat yang menguruskan saya. Apabila semuanya sudah selesai barulah proses pembikinannya disambung semula.
Selain itu saya juga mengambil masa yang agak panjang untuk mencari lagu atau material yang bagus. Saya tidak mahu menghasilkan album secara tergesa-gesa dan hasilnya tidak memuaskan. Kalau boleh saya mahu semua lagu yang terdapat di dalam album ini adalah lagu-lagu yang terbaik.
Lagi satu punca album ini agak lewat berada di pasaran kerana terdapat sebuah lagu yang saya terpaksa rakamkan semula kerana terdapat beberapa kelemahan. Saya tidak kisah dengan perkara tersebut asalkan peminat saya yang telah sekian lama menantikan album saya berpuas hati.
Nubhan sekarang cukup popular dengan lagu "Oh Juwita". Namun ada orang cakap gaya nyanyian Nubhan seakan-akan Adi dari kumpulan 6ixth Sense dan mereka mendakwa Nubhan meniru Adi. Boleh Nubhan jelaskan perkara ini?
Saya rasa cara penyampaian saya dan Adi berbeza. Tetapi mungkin muzik serta susunan lagu tersebut mempunyai persamaan dengan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan oleh 6ixth Sense. Sebabnya lagu ini dibuat oleh kumpulan tersebut dan saya menafikan dakwaan yang mengatakan saya meniru Adi.
Pada saya peminat sudah terbiasa dengan gaya nyanyian Adi, jadi bila ada lagu-lagu yang seakan-akan muzik kumpulan tersebut mereka menjangkakan Adi yang menyanyikannya. Pada saya, lama-kelamaan isu ini akan hilang bila peminat mula dapat menerima cara nyanyian saya di dalam lagu tersebut.
Sehingga kini respon yang saya terima cukup baik dan saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan 6ixth Sense yang sememangnya cukup berbakat. Mereka merupakan antara kumpulan yang paling saya minati.
Sebelum ini, lagu "Ada Untukmu" agak perlahan, tetapi "Oh Juwita" lebih rancak. Dan nampaknya Nubhan lebih selesa menyanyikan lagu-lagu yang rancak. Boleh ceritakan jiwa Nubhan lebih ke arah mana dan konsep album Nubhan?
Sebenarnya saya memang sukakan lagu-lagu rancak kerana ia lebih mudah diingati oleh penonton dan saya sendiri lebih mudah untuk berkomunikasi serta beraksi di pentas.
Namun saya tiada masalah untuk menyanyikan lagu-lagu berentak perlahan. Malah konsep album saya juga separuh-separuh. 50% lagu-lagu perlahan dan 50% lagi lagu-lagu yang rancak. Jadi saya beri pilihan kepada peminat saya untuk memilih lagu-lagu yang mereka gemari.
Apakah antara lagu-lagu yang terdapat di dalam album Nubhan serta komposer yang terbabit?
Album ini mempunyai lapan buah lagu dan antara lagu-lagu yang dimuatkan selain daripada "Oh Juwita" ialah "Di Redup Matamu", "Beri Rasa", "Mata Hati", "Aku Atau Dia", "Seadanya Aku" dan sebuah lagu berbahasa Cina, "Ai Mei Cuo" atau maksudnya "Cinta Tak Bersalah". Kiranya lagu tersebut dibuat dalam dua versi iaitu bahasa Cina dan Melayu. Sementara itu, antara komposer yang terlibat ialah kumpulan Sixth Sense sendiri, Tam Spider, Audi Mok dan Sharon Paul.
Bagaimana pula dengan dunia lakonan? Masih menerima tawaran berlakon drama atau filem?
Saya baru sahaja habis menjalani penggambaran filem 'Lagenda Budak setan' yang turut dibintangi Lisa Surihani dan Farid Kamil. Selain itu, saya juga ada menerima beberapa tawaran lain tetapi terpaksa ditolak kerana saya mahu fokus dengan album saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi.Ini kerana lakonan memerlukan komitmen yang tinggi serta masa yang agak panjang. Jadi bila dah habis semua kerja-kerja promosi album, barulah saya akan kembali membabitkan diri dengan dunia lakonan.
Categories:
Media
Post a Comment