Oleh FIRDAUS SAHAT

firdaussahat@hmetro.com.my

Meskipun bekerja di pentas nyanyian mahupun lakonan menghiasi layar perak dan skrin kaca, mereka juga insan biasa yang menyambut bulan mulia seperti umat Islam lain.

Berkesempatan turun padang melihat-lihat juadah di bazar Ramadan turut menjadi rutin artis tatkala mempunyai masa terluang apabila tidak terikat dengan kerja.

Selebriti Metro Ahad sempat bersama Liyana Jasmay, Aizat, Nubhan, Zizi AF7 dan empat anggota kumpulan One Nation Emcees meninjau dan membeli pelbagai juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, petang Rabu lalu.

Bazar itu yang menawarkan pelbagai juadah termasuk ikan bakar, patin gulai tempoyak, pari asam pedas dan macam-macam lagi membuat kecur liur. Sabar sajalah dengan godaan itu!

Bagi pelakon Liyana Jasmay, setiap kali tiba Ramadan, ayam masak merah bersama air tebu menjadi hidangan wajibnya berbuka puasa.

“Bagi saya hidangan berkenaan sungguh menyelerakan. Meskipun ia masih boleh didapati pada hari lain, hidangan ini tetap menjadi pembuka selera saya. Malah air tebu yang dibeli pada bulan puasa bagaikan lebih sedap dan menyegarkan daripada biasa.

“Bagaimanapun setiap kali berbuka puasa, saya dan keluarga akan pastikan kami tidak membazir. Segala-galanya disiapkan oleh Mama dan hanya beberapa juadah dibeli di bazar Ramadan.

“Selain itu bulan mulia ini menjadi waktu untuk saya meluangkan masa bersama Mama dan keluarga. Jika sebelum ini saya sibuk bekerja, kini tiba masanya saya berehat bersama-sama keluarga.

“Bulan ini juga mengajar saya banyak perkara. Ia menyedarkan saya erti sabar dan saya juga dapat menginsafi diri. Ramadan hanya setahun sekali, jadi mari kita muhasabah diri dalam bulan yang dipenuhi keberkatan Ilahi,” katanya.

Berbeza Liyana, Aizat pula lebih menggemari mi rebus dan ayam goreng kampung. Jika mahu diikutkan, jejaka ini menikmati apa saja yang dihidangkan tetapi katanya, tidak elok untuk mengikuti hawa nafsu sebegitu.

“Biasanya apabila tiba ke bazar Ramadan, pelbagai jenis makanan bermain dalam fikiran. Biasalah! Pun begitu tidak perlu saya menuruti nafsu, takut nanti membazir pula.

“Jadi semuanya diserahkan kepada Mama dan yang mana tidak cukup, saya akan beli di bazar Ramadan. Bagaimanapun Mama dan Papa menjadi orang penting mengatur apa juadah yang akan kami nikmati manakala saya akan terperap dalam bilik dan menyiapkan lagu demi lagu.

“Walaupun masih bekerja, ibadat dalam bulan mulia ini masih tidak ditinggalkan. Jika ada masa lapang, saya bersama keluarga menunaikan solat sunat Tarawih di masjid berdekatan. Rasanya sayang jika kita sengaja meninggalkan bonus pemberian Allah SWT dalam bulan ini,” katanya.

Lain pula cerita mengenai One Nation Emcees. Kebanyakan anggota kumpulan ini yang berasal dari Sabah pasti pulang ke kampung halaman untuk menyambut puasa pertama bersama keluarga.

Menurut Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), bulan ini menjadi Ramadan kedua buat mereka bergelar artis. Seperti tahun lalu, jika ada kelapangan, empat anak muda yang menganggotai kumpulan ini pasti mengambil cuti untuk pulang ke kampung menyambutnya.

“Kami sepakat bahawa bulan mulia ini lebih istimewa daripada Syawal. Bulan ini juga mengajar kami banyak perkara. Lagipun Ramadan mengandungi pelbagai hikmah. Jadi menyambutnya lebih bermakna jika dibandingkan dengan Aidilfitri.

“Menyentuh soal juadah, pilihan kami berbeza. Saya menyukai ikan bakar bersama bandung soda manakala Muhamed Fareezan Muhamed Murtaza (Kozae), Mohd Norzaidi Edris Jekeria (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) lebih menggemari ayam percik dan murtabak bersama-sama dengan ABC.

“Jadi apabila kami berbuka bersama, pelbagai jenis juadah terhidang di depan mata. Biasalah, lain orang lain seleranya,” jelas Mimi.


Sumber: Harian Metro

Categories: