Showing posts with label Langkah Nubhan. Show all posts
Showing posts with label Langkah Nubhan. Show all posts

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/12/09



Nubhan

Perjalanan kerjaya yang disangka sudah gelap, rupa-rupanya masih ada sinar

DALAM perjalanan untuk mencipta nama sebagai anak seni, penyanyi yang memiliki wajah persis jejaka Cina ini pernah berasakan dunianya dalam bidang nyanyian seakan kelam.
Sebagai orang baru yang tidak mengetahui selok belok dunia hiburan, masalah yang ditimbulkan bekas pengurusnya menyebabkan Ahmad Nubhan Ahamad, 24, menyangka langkahnya dalam dunia nyanyian akan mati.

Terasa usahanya selama ini bagaikan sia-sia. Namun ternyata masih ada sinar buat jejaka ini apabila syarikat pengurusannya, Artistes United Record (AUR) masih sudi mengembangkan kerjaya seninya.

“Waktu itu memang dunia bagaikan gelap. Permulaannya memang fikiran jadi berserabut, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Maklum saja ketika itu masih baru dalam industri ini. Kehidupan saya memang bergantung sepenuhnya kepada pengurus kerana dia yang banyak merencanakan jadual saya.

“Jadi apabila sesuatu berlaku kepadanya, saya panik. Walau dalam keadaan yang berserabut itu, saya tidaklah terfikir mahu meninggalkan bidang nyanyian. Mujur ada keluarga yang menjadi kekuatan saya.

“Nasib saya masih baik apabila syarikat pengurusan mahu bertanggungjawab. Mereka masih mahukan saya serta mahu melihat kerjaya seni saya diteruskan. Ketika itu saya bagaikan melihat ada sinar yang kembali menyinari hidup saya,” kata bekas pelajar Akademi Fantasia (AF6) ini ketika ditemui di majlis pelancaran album sulungnya Langkah Nubhan.
Biarpun kerjaya seninya bergerak agak perlahan, jejaka yang menduduki tempat ketiga pada AF6 ini tidaklah hidup melarat. Hasil titik peluh yang dikumpul selama tiga tahun sebagai anak seni, Nubhan sudah mampu berbangga kerana memiliki kediaman selesa untuk dia dan ahli keluarganya berteduh.

Kediaman yang terletak di Senawang, Negeri Sembilan itu baru saja didiami. Malah dia juga lebih selesa tinggal bersama keluarga walaupun terpaksa berulang alik jika ada urusan di Kuala Lumpur.

“Saya pernah tinggal sendirian di Kuala Lumpur selama setahun. Bagaimanapun saya rasa lebih banyak keburukan tinggal sendirian. Saya ambil keputusan kembali menetap dengan keluarga. Tak kisah walaupun terpaksa berulang alik, yang penting hati saya gembira,” katanya.

Tiga tahun menjadi anak seni, banyak perubahan yang berlaku kepada anak muda ini terutama dari sudut vokalnya. Jika di dalam AF, vokal Nubhan sering mendapat kritikan, namun kini fasa peningkatan mula kelihatan.

Ketika pelancaran albumnya, Nubhan menghiburkan tetamu dengan tiga lagu, Oh! Juwita, Beri Rasa Beri Rahsia dan sebuah lagu Mandarin berjudul Ai Mei Chuo. Ternyata vokal anak muda ini semakin baik.

Katanya, dia sering menjadikan teknik nyanyian penyanyi lain sebagai rujukan selain pernah mengikuti kelas vokal serta banyak bertanya untuk memperbaiki diri.

Langkah Nubhan adalah buah tangan pertama penyanyi ini selepas tiga tahun menanti. Biar mungkin agak terlewat, namun dia gembira kerana cita-cita untuk memiliki album akhirnya terlaksana juga.

“Nasib setiap orang tidak sama. Walaupun lambat tapi saya yakin pihak pengurusan tidak menghampakan impian saya. Memang tak dinafikan tertanya-tanya juga bila agaknya album saya akan muncul, tetapi akhirnya impian saya terlaksana juga.

“Langkah Nubhan menjadikan langkah saya lebih teratur. Saya berpuas hati dengan lagu-lagu dalam album ini. Masa yang diambil mungkin lama, tetapi syarikat pengurusan memastikan album ini bukanlah tangkap muat saja.

“Saya juga berpuas hati kerana diberi peluang bersuara dan memberikan pendapat. Mereka mengikut kehendak saya dengan memilih lagu yang saya rasa selesa untuk dibawakan. Malah apa yang mengejutkan, mereka juga suka dengan lagu dalam bahasa Mandarin,” kata Nubhan.

Lagu Ai Mei Chou yang ditulis oleh Tam Spider sementara lirik oleh Yap Kang Heng sudah pun berjaya menembusi stesen radio Cina. Ia juga sebagai salah satu strategi daripada AUR untuk memperkenalkan nama Nubhan dikalangan peminat Cina.

Selain Tam, turut terbabit di dalam album Langkah Nubhan ialah 6ixth Sense, Audi Mok, Ad Samad, M Nasir, Sharon Paul dan Azalea. Sementara itu, ketika ditanya tidakkah dia mempunyai impian untuk menulis lagunya sendiri. Nubhan berkata, perkara itu masih terlalu awal dan dia lebih selesa menjadi penyanyi terlebih dulu.


*Sumber: Berita Harian Online

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar FATAH SULAIMAN



BERDEPAN dengan kemelut pengurusan ketika kariernya baru hendak bermula tidak pernah mematahkan semangat anak muda berusia 24 tahun ini.

Biarpun ada yang meramalkan perjalanan seninya hanya akan terhenti di pertengahan jalan kerana permasalahan yang berlaku ketika itu, Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali dengan panggilan Nubhan sentiasa berfikiran positif.

Ada ketikanya juga hatinya terselit rasa cemburu apabila melihat rakan seperjuangannya tersenyum bangga kerana sudah memiliki album sendiri, tetapi Nubhan percaya setiap rezeki telah ditentukan sebaiknya oleh Yang Maha Esa.

Jauh sekali juga untuk mengibarkan bendera putih sebagai tanda mahu menamatkan perjuangannya yang belum selesai itu, bagi Nubhan, tempoh tiga tahun kebelakangan ini telah membuka matanya terhadap persekitaran sekeliling.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, saya harus akui ia merupakan perjalanan yang cukup mencabar buat saya dalam membina nama sebagai seorang artis. Banyak yang telah saya belajar dan pengalaman yang saya perolehi untuk menguatkan semangat agar terus berada dalam industri.

“Selepas apa yang berlaku dalam pengurusan baru saya, pernah juga saya tertanya-tanya apakah yang akan terjadi dengan saya terutama sekali projek album sulung saya yang sudah lama dirancangkan. Tidak pernah ada istilah putus asa dalam kamus hidup saya.

“Akhirnya saya dapat memiliki apa yang saya idamkan selama ini biarpun perlu menunggu lama. Walaupun ada yang berpendapat penantian itu satu penyiksaan tapi bagi saya, penantian saya selama ini memang cukup berbaloi. Terima kasih kepada pengurusan saya yang terus percaya dengan bakat dan kebolehan saya untuk menerbitkan album ini,” ucap Nubhan yang cukup masyhur dengan lagu Ada Untukmu itu dalam nada syukur.

Nubhan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya, Langkah…Nubhan di Kelab Borneo Baruk, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir penghibur terkenal, Ning Baizura dan Pengarah Urusan Artistes United Records (AUR), Michael Ang yang juga penerbit eksekutif untuk album Langkah…Nubhan.

Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam mengemudikan karier Nubhan sejak tiga tahun lalu, Ning memberitahu, dia tetap akan membantu anak didiknya itu walaupun pernah melalui waktu sukar.

“Janji saya dari dulu adalah untuk mengembangkan lagi karier Nubhan. Tidak kira kalau ia mengambil masa yang lama kerana saya berpegang pada janji.

“Saya percaya dengan pengurusan baru di bawah pentadbiran Michael Ang dan pengurus artis, Poji Samad, karier Nubhan akan terus berkembang maju selepas ini dengan kemunculan album sulungnya,” kata Ning yang juga bekas pengkritik tetap Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu lagi.



*Sumber: Utusan Malaysia Online

Dearest Fans,

Gambar-gambar Nubhan ketika di pelancaran album sulungnya, 'Langkah Nubhan' pada 1 Disember 2010 lalu bertempat di Borneo Baruk Club. Pada hari kejadian Nubhan telah menyanyikan lagu Aku Atau Dia, medley Ai Mei Cuo & Diredup Matamu dan Beri Rasa.




by Miss Ayu | 03 Dec 2010

Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan kini boleh menarik nafas lega apabila penantiannya untuk melahirkan album solo telah berakhir. Bermula pertengahan Oktober lalu peminat Nubhan sudah boleh membeli album solo pertama penyanyi ini di pasaran.
Menggunakan judul ‘Langkah Nubhan’, album ini memuatkan tujuh buah lagu yang menampilkan beberapa komposer ternama tanahair seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul, dan tidak ketinggalan kumpulan 6ixth Sense yang baru mencuba mencipta lagu untuk penyanyi lain.
Mengulas tentang album pertamanya itu, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Oh! Juwita’ ini memberitahu dia berasa cukup puas hati dengan album pertamanya itu walaupun ramai yang tertanya-tanya mengapa dia mengambil masa yang terlalu lama untuk hadir dengan album.
“Saya mengambil masa lebih tiga tahun untuk album ini kerana saya mahu pastikan semua lagu yang dimuatkan dalam album ini bagus. Proses pemilihan lagu untuk album ini memang ketat. Saya dan pihak pengurusan perlu memilih tujuh buah lagu daripada 45 buah lagu yang ada.
Selain itu, peralihan pengurusan baru Artistes United Record Sdn Bhd juga membuatkan proses penerbitan album ini terganggu seketika. Tetapi, saya tidaklah senyap terus. Saya muncul dengan beberapa single untuk pastikan peminat tidak lupakan saya, ”ujar Nubhan ketika ditemui oleh pihak media selepas majlis pelancaran albumnya di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, kelmarin.
Menceritakan tentang judul albumnya itu, Nubhan memberitahu judul itu membawa makna bahawa dia kini sudah semakin yakin untuk terus melangkah dalam bidang nyanyian. Baginya inilah permulaan untuknya mengorak langkah yang lebih teratur dan pantas demi masa depannya dalam bidang nyanyian.
Dalam masa yang sama, Nubhan juga sempat mengulas dakwaan yang mengatakan dia seorang penyanyi yang tidak mempunyai identiti muzik sendiri. Dakwaan ini timbul kerana dia menyanyikan lagu ciptaan kumpulan 6ixth Sense dan Spider.
“Sebenarnya saya rasa sangat bertuah kerana mendapat lagu daripada komposer yang bagus-bagus. Kalau peminat kata saya tidak punya identiti sendiri saya rasa sukar untuk menjelaskannya. Yang pasti, saya sudah menyanyikan lagu itu dengan cara saya sendiri. Tidak meniru 6ixth Sense mahupun Spider. Jadi, terpulanglah kepada peminat untuk menilai. Kalau hendak harapkan saya buat lagu sendiri, memang tidaklah. Saya bukan pandai bermain alat muzik,” jelas Nubhan lagi.

Pembikinan album Nubhan bermula sejak pertengahan tahun 2009. Selepas single ‘Seadanya Aku’, Nubhan mula merakamkan lagu satu persatu sehingga pihak Artistes United Record yakin dengan pemilihan lagu-lagu yang telah dirakamkan.
Lagu-lagu yang terkandung dalam album ini adalah berunsur pop bebas yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur. Nubhan mencuba kelainan apabila turut mempertaruhkan sebuah lagu berbahasa Mandarin yang berjudul ‘Ai Mei Chuo’ yang dialih bahasa daripada lagu ‘Diredup Matamu’ hasil ciptaan Tam Spider.
Bagi mempromosikan album pertamanya itu, Nubhan akan terlibat dengan banyak persembahan di pusat-pusat membeli-belah seluruh negara. Sabtu ini (4 Disember) dia akan muncul di Batu Pahat Mall sebelum beraksi di Kem Tentera Mersing pada sebelah malamnya.


*Sumber: Gua.com

PETALING JAYA: Penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan mengakui masih belum bersedia untuk mencipta lagu sendiri seperti rakan-rakan artis yang lain.
Katanya, dia sedar perkara tersebut penting bagi meletakkan namanya berada sebaris dengan nama-nama besar seperti Aizat atau Faizal Tahir.
Namun begitu bagi mengatur langkah pertama, anak kelahiran Negeri Sembilan ini sudah bersedia bersaing dalam industri muzik tanah air dengan kemunculan album pertamanya berjudul Langkah… Nubhan.
“Saya akui untuk ke pergi sebaris dengan mereka saya perlu pandai untuk mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini saya masih belum bersedia.
“Sebagai artis yang masih hijau dalam industri ini, banyak lagi yang perlu saya pelajari. Insya-Allah suatu hari nanti saya akan sampai ke tahap itu. Namun begitu album pertama ini merupakan peringkat permulaan bagi perjalanan seni saya,” ujarnya di Majlis Perlancaran Langkah Nubhan di Borneo Baruk, di sini, Rabu.
Album memuatkan tujuh buah lagu ini merupakan langkah pertama Nubhan bagi menempatkan diri dalam industri muzik tanah air.
“Impian untuk mempunyai sebuah album solo akhirnya terlaksana setelah penantian selama tiga tahun. Bagi saya ini merupakan titik tolak kepada kerjaya saya sebagai seorang artis.
“Album ini membabitkan komposer terkenal tanah air seperti Tam Spider, Audi Mok, Sharon Paul dan komposer baru iaitu 6ixth Sense,” ujarnya.
Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6) ini juga memperjuangkan genre muzik pop bebas yang boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.
Antara lagu yang terkandung dalam album ini ialah Ada Untuk Mu, On Juwita, Seadanya Aku, Aku Atau Dia, Beri Rasa dan Di Redup Matamu.
Menurut Nubhan pemilihan lagu bagi album ini dibuat mengikut kesesuaian suara dan trend pasaran.
“Kami telah memilih tujuh buah yang terbaik dan sesuai dengan suara saya daripada 45 buah lagu yang diterima.
“Akhirnya tujuh lagu ini dipilih mengikut pendapat sebulat suara,” ujarnya.
Lebih istimewa, sebuah lagu berbahasa Cina turut dimuatkan dalam album tersebut yang dialih bahasa daripada lagu ciptaan Tam Spider berjudul Ai Mei Chou. Ia adalah bertujuan untuk memasuki pasaran pendengar berbangsa Cina.
Album yang dijangka mampu memenuhi citarasa semua pendengar muzik tanah air ini telah berada dipasaran sejak pertengahan bulan Oktober.

*Sumber: mStar Online
*Untuk membaca mengenai pelancaran album Nubhan boleh juga baca DI SINI, DI SINI dan DI SINI
Pics credit to runwitme.blogspot.com

ALHAMDULILLAH dan syukur, ungkapan yang tidak pernah lekang meniti di bibirnya sekali gus membayangkan betapa Nubhan yang dilahirkan dengan nama, Ahmad Nubhan Ahamad, 24, ketika ini cukup lega.
Tentu sekali dia berhak merasakan perasaan itu. Apatah lagi, selepas tiga tahun menanti, impiannya untuk melihat album sulung dilancarkan terlaksana, kelmarin di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng.

Langkah Nubhan menterjemahkan perjalanan seninya yang diharap lebih lancar dan teratur.
"Album ini saja judulnya Langkah Nubhan. Tiga tahun orang nampak Nubhan tanpa sebarang produk, tentu saja saya mengharapkan kehadiran album ini dapat membantu merencana kerjaya seni yang lebih baik dan kalau boleh membawa nama saya ke satu peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, saya juga berharap Langkah Nubhan ini akan meleraikan penantian peminat yang sudah lama tertunggu-tunggu kemunculan album sulung saya," katanya.

Pernah berasa terkapai-kapai apabila pihak pengurusan lamanya mengundurkan diri, namun Nubhan sedar dirinya masih bertuah kerana syarikat yang dinaunginya, Artistes United Record Sdn Bhd (AUR), tidak pernah mengabaikannya.

"Tiga tahun banyak benda yang saya belajar. Saya menimba pengalaman bagaimana proses pembikinan album dilakukan.

"Ternyata ia bukan satu proses yang mudah. Pun begitu, saya yakin pihak pengurusan saya sudah memutuskan yang terbaik untuk album ini.
"Berhubung penantian selama tiga tahun, terus terang saya seorang yang tidak mudah menyerah kalah, malah percaya setiap insan pasti ada dugaan dalam hidupnya.

"Langsung tak terfikir untuk mengundurkan diri melainkan ternyata-tanya bila agaknya album saya akan keluar, itu saja. Kelewatan disebabkan mencari material, selain pengurusan baru. Justeru, banyak perkara perlu dirangka dan diatur semula.

"Semua proses ini memakan masa yang lama. Pun begitu, syukur Alhamdulillah akhirnya album dapat juga dilancarkan," katanya.

Ingin rasa hati untuk mempertaruhkan lagu sendiri sebagaimana dilakukan bintang AF yang lain seperti Aizat, namun Nubhan hanya mahu melaksanakan impian itu di dalam album seterusnya kerana untuk album pertama, dia menganggap satu proses pembelajaran.

Diperkenalkan menerusi program Akademi Fantasia 6, Nubhan dilamar Ning Baizura untuk bernaung di bawah syarikat AUR kerana Ning tertarik dengan vokal Nubhan yang mempunyai ciri istimewa.

Ada Untuk Mu menjadi single pertama Nubhan yang dikeluarkan Maestro Records dan dengan single itu, bakat pemuda kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini lebih terserlah.

Selepas popular dengan Ada Untuk Mu, AUR mengeluarkan pula single kedua Nubhan, Seadanya Aku yang menampilkan Sharon Paul sebagai komposer.

Pembikinan album ini bermula sejak pertengahan 2009. Selepas single Seadanya Aku, Nubhan mula merakamkan lagu satu persatu sehingga pihak AUR yakin dengan pemilihan lagu-lagu yang dirakamkan.

Mengandungi tujuh lagu, komposer yang terbabit antaranya Adi 6ixth Sense yang menyumbangkan dua buah lagu iaitu Oh Juwita termasuk Aku Atau Dia. Audi Mok pula menyumbangkan sebuah lagu berjudul Mata Hati dan Seadanya Aku oleh Sharon Paul.

Album berkonsep 'free pop' ini turut menampilkan Tam Spider yang mempertaruhkan Beri Rasa Beri Rahsia dan Diredup Matamu. Diredup Matamu turut dirakamkan dalam bahasa Mandarin dan menggunakan judul Ai Mei Cuo. Liriknya ditulis Yap Kang Heng.

Bagi peminat yang belum mengetahui latar belakang Nubhan, pemuda ini pernah mendapat pendidikan di sekolah Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik.

Pengurus Artis (A&R) AUR, Mohd Pauzi Abd Samad berkata, merakamkan sebuah lagu berbahasa Cina salah satu strategi syarikat rakaman.

"Nubhan mempunyai kelebihan boleh bertutur bahasa Cina dengan lancar. Kami tidak mahu mensia-siakan kelebihan yang ada padanya. Mana tahu, bertitik-tolak daripada percubaan ini dapat memasuki pasaran bukan Melayu. "Jika ia berjaya dan mendapat sambutan di kalangan masyarakat Cina, kami juga merancang menerbitkan album Langkah Nubhan ini dalam bahasa Mandarin," katanya sambil diperhatikan Nubhan, Ning Baizura serta Pengarah Urusan AUR, Michael Ang.


*Sumber: Harian Metro Online



Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 2 DIS 2010: Setelah sekian lama menanti, akhirnya pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 6 (AF6), Ahmad Nubhan Ahamad atau Nubhan telah berjaya memiliki sebuah album solo pertama berjudul Langkah Nubhan yang telah dilancarkan di Borneo Barok Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, petang semalam.
Penantian selama 3 tahun itu telah membuatkan Nubhan berasa puas hati selain menganggap album tersebut sebagai langkah baru buat dirinya untuk mengatur semula kariernya sebagai penyanyi.
"Album ini memakan masa 3 tahun untuk disiapkan yang mana ia melalui proses pemilihan lagu yangcukup ketat. Dalam waktu yang sama, Nubhan juga mengalami pertukaran syarikat pengurusan yang baru. Dalam tempoh perubahan tersebut, memang Nubhan dilihat banyak mendiamkan diri. Pun begitu, lagu-lagu Nubhan seperti Oh Juwita masih lagi mendapat sambutan dan dimainkan di radio sampailah sekarang.
"Begitupun, Ini adalah langkah permulaan yang baru buat Nubhan. Jadi, Nubhan ingin mengatur kembali langkah Nubhan dalam industri muzik tempatan supaya lebih maju dan teratur. Dengan kelahiran album ini, ia juga membuktikan bahawa Nubhan tsudah bersedia untuk terus melangkah ke hadapan dan mengharapkan agar langkah yang dilalui pada masa akan datang kelak tidak akan membuatkan Nubhan jatuh tersungkur," ujar Nubhan kepada murai.com.my.
Namun begitu, ada juga pihak yang mendakwa Nubhan adalah seorang penyanyi yang tidak yang tidak mempunyai identiti sendiri. Hal ini disebabkan, album solonya yang memuatkan 7 lagu ini mengandungi terlalu banyak lagu-lagu ciptaan daripada kumpulan 6ixth Sense dan Spider dan cara Nubhan menyanyi juga secara tidak langsung turut dibayangi cara nyanyian vokalis kedua-dua kumpulan berkenaan.
Menjelas tentang hal tersebut, Nubhan berkata, dia sebenarnya telah terlibat secara sepenuhnya dalam pemilihan kesemua dalam album tersebut.
"Sesungguhnya, Nubhan bersyukur dan rasa bertuah kerana mendapat lagu ciptaan dari 6ixth Sense dan Spider. Kalau bukan mereka yang berikan, apalah agaknya yang mungkin akan berlaku pada Nubhan.
"Nubhan tak peduli apa orang nak kata. Nubhan serahkan pada pendengar untuk menilai sendiri sama ada sama atau tidak dengan mereka. Kalau Nubhan tak ada identiti sendiri, sukar sekali untuk Nubhan katakan. Pun begitu, Nubhan akui memang Nubhan ini buta bermain alat muzik.
"Nubhan pun masih belum bersedia untuk buat lagu sendiri. Terus-terang Nubhan cakap, nak cipta sebuah lagu itu memang sukar sekali. Sebenarnya, daripada 45 lagu yang dicadangkan untuk dimuatkan dalam album ini, ada lagu yang Nubhan suka dan ada yang tidak. Namun, tak semua lagu yan Nubhan suka tu boleh dimuatkan dalam album ini.
"Sebab Nubhan kena sedar diri dan tak boleh ego yang album ini memerlukan kerjasama antara satu sama lain. Jadi, Nubhan terpaksa terima lagu yang Nubhan suka itu tidak akan dimuatkan dimuatkan dalam Langkah Nubhan," jelasnya.
Sementara itu, Nubhan turut menampilkan kelainan dengan menyanyikan sebuah lagu Mandarin berjudul Ai Mei Chuo hasil ciptaan Tam Spider yang mana lirik nya telah dihasilkan oleh Yap Kang Heng. Menurut pihak pengurusan Nubhan iaitu Artites United Records, lagu ini dicetuskan untuk memberi peluang Nubhan untuk mengintai pasaran masyarakat Cina selain Nubhan uga sebenarnya pandai bertutur dalam bahasa Cina.

*Sumber: Murai.com

Dearest Nubies & Fans,


Eksklusif untuk Nubies dan fans, anda boleh mendapatkan album sulung Nubhan iaitu 'Langkah Nubhan' sekarang dengan harga RM24 yang telah ditandatangani oleh Nubhan dan disertakan bersama poster sekiranya anda membeli melalui Nubhan FC.

Untuk mendapatkan album ini, anda boleh menghubungi AJK-AJK Nubhan FC di bawah dengan memberi nama, nombor telefon dan alamat (jika memerlukan penghantaran terus ke rumah). Bagi Nubies atau fans yang berada di sekitar Kuala Lumpur, Selangor atau Negeri Sembilan yang ingin mendapatkan terus album ini tanpa penghantaran ke rumah, anda juga boleh menghubungi nama-nama di bawah mengikut kawasan:

1) Harney (012-6341952) - Seremban
2) Kak Kikey (012-2444290) - KL
3) Angah Ruzi (012-3201819) - Puchong, Subang


*Bagi Nubies atau fans, yang memerlukan penghantaran ke rumah, anda boleh membuat pembayaran di akaun ini 164017119309 - Shamsida Mustafa (Maybank).

*Kos penghantaran RM 5 (Semenanjung Malaysia) & RM 10 (Sabah/Sarawak)

*Sebarang pembayaran yang telah dibuat, hendaklah diberitahu kepada salah seorang AJK di atas.


So Nubies & Fans, apa tunggu lagi, jom dapatkan album Nubhan sekarang eksklusif untuk anda melalui Nubhan FC. Selain mendapatkan album ini melalui Nubhan FC, anda juga boleh mendapatkannya di pasaran dengan harga RM 25.90. Sekian, terima kasih. Teruskan menyokong Nubhan! :)